Monday, December 24, 2012

Bengkel Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad di Kuala Langat




Alhamdulillah, segala pujian dipanjatkan kepada Allah yang telah memudahkan urusan kami. Selawat dan salam untuk Rasul junjungan, Nabi Muhammad yang menjadi role-model umat sepanjang zaman. 

Pada 23 Dis 2012, Ahad telah berlangsung satu lagi siri bengkel Mendorong pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad. Bengkel yang diadakan di Masjid Jamiul Islamiyah Batu 9, Kg Medan Sijangkang ini telah disertai seramai hampir 30 orang guru-guru dan ibu pelajar PASTI kawasan Kuala Langat dan Madrasah Darul Mujahidin, Kuala Langat.

Kali ini, bengkel disertai oleh kaum ibu yang bercita-cita tinggi mempratikkan teknik nabi ke atas anak-anak mereka. Sekolah yang mempunyai kerjasama baik antara guru-guru dan ibu bapa akan memudahkan teknik ini dapat diamalkan secara berkesan. Anak-anak menerima impak yang serupa di sekolah dan di rumah. 

Dalam bengkel ini, saya telah berkongsi 5 teknik mendorong pelajar corot iaitu:

1) Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad
2) Teknik Guru Bertanya Soalan Akhlak Supaya Semua Pelajar Angkat Tangan
3) Teknik Guru Tidak Menyiasat Kesalahan Pelajar
4) Teknik Guru Tidak Menegur dan Mengkritik Kesalahan Pelajar
5) Teknik Menyelesaikan Konflik Anak-anak (ini teknik bonus untuk peserta ibu)

Saya kagum dengan partisipasi peserta sepanjang sesi bengkel di adakan dalam tempoh 4 jam itu. Allah menerima kehadiran kami sebagai salah satu amalan sebagai menyatakan rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W

Amin.... 


Ibu yang Prihatin

Satu perkara yang berkesan di hati saya adalah apabila seorang peserta dalam kalangan ibu, datang berjumpa dengan saya setelah berakhirnya bengkel.

"Saya mempunyai 2 orang anak lelaki. Saya bimbang melihat abangnya. Abang selalu rasa mengalah dengan adik. Abang tidak mempunyai prestasi sebaik adik." Ibu itu bercerita dengan nada yang sayu, barangkali sedih.

"Apa maksud mengalah itu," tanya saya yang keliru.

"Mengalah....rasa rendah diri dengan adik. Dia rasa adik lebih baik daripadanya, jadi dia rasa dia tidak boleh jadi seperti adik. " Lebih kurang begitu jelas si ibu.

Lantas, saya tinggalkan satu pesanan pendek pada ibu itu. Saya sedaya-upaya tidak menyiasat punca dan masalah. Itulah salah satu prosedur kaunseling Nabi Muhammad iaitu tidak menyiasat dan bertanya itu dan ini. Saya berikan jalan penyelesaian yang telah saya kongsikan dalam bengkel tadi.

"Setiap anak ada prestasi dan kelebihan masing-masing. Puan tentu tahu apa prestasi atau kelebihan anak-anak puan."

"Saya tahu memang abang itu ada kelebihan tersendiri," jelasnya.

"Puan boleh berusaha tingkatkan self-esteem anak puan. Caranya, tidak membanding-bandingkan antara abang dan adik. Puan boleh mendorong diri abang dengan banyak memuji prestasi dan kebaikannya. Pasti abang akan sedar bahawa dia boleh berjaya seperti adik dengan kelebihannya itu," ujar saya.

Ibu mengangguk perlahan, ada senyum kecil dibibirnya. Beliau berlalu dengan ucapan "terima kasih, puan".

Alhamdulillah, kami bersyukur kepada-Mu!


1 comment: