Thursday, December 5, 2013

"Abang, Begedil Hangit!"


Seorang rakan bertanya kepada saya...
"Ada juga suami yang tidak mahu puji isteri sebab tidak mahu hipokrit atau menipu. Contohnya tidak mahu puji masakan isteri sedap, sebab memang tidak sedap pun. Adakah berdosa kalau si suami cakap sedap padahal tidak pun. Mohon penjelasan ustazah."

Ini jawapan saya:

Dalam Teknik Nabi Muhammad (selawat sebanyak-banyaknya apabila membaca nama Nabi Muhammad selepas ini) iaitu 'Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan', Nabi Muhammad pura-pura tidak nampak pada kesalahan lelaki dalam hadith '12 Malaikat'. 

Hadith Rujukan : 12 Malaikat
 
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim. Hadith di atas diterjemahkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi
 
Lelaki itu melakukan beberapa kesalahan antaranya:

1) Datang lambat ke masjid
2) Masuk barisan sembahyang dengan termengah-mengah dan terkocoh-kocoh
3) Membaca suatu kata-kata dengan suara yang kuat hingga mengganggu orang yang sedang sembahyang
4) Tidak mahu mengaku apabila ditanya

Bagaimanapun, Nabi Muhammad tidak menyiasat, mengkritik atau memarahi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Beliau memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Dalam hal yang ditanya oleh teman saya itu, isteri melakukan kesalahan teknikal iaitu teknik masakannya tidak betul. Puji usaha isteri itu yang sanggup memasak. Walaupun hasil masakan tidak sedap atau prestasi kerjanya tidak bagus, usaha memasak itu patut dipuji. 

Tutup mata pada kesalahan, cari kebaikan untuk dipuji. Sekiranya tidak jumpa perkara yang boleh dipuji, diam-diam sahaja. Adalah lebih baik masakan itu yang masam daripada wajah isteri menjadi masam mencuka.

Insyaallah, isteri akan seronok memasak, berusaha memasak lagi dan lama-kelamaan menjadi pakar.

Nota: Hari ini saya menggoreng begedil daging korban. Walaupun kelihatan hangus, suami tetap makan dengan selera dan mengucapkan, "Terima kasih sayang kerana menyediakan makan tengah hari ini."


Poster Dakwah - Menerangkan Peraturan yang Betul


Poster dakwah yang bagus. Mesej yang disampaikan jelas dan mudah difahami. Saya suka!




Poster dakwah ini menerangkan peraturan yang betul iaitu etika pemakaian yang patut dipatuhi oleh seorang wanita Islam. Prinsip dan teknik yang digunakan dalam poster ini adalah:

1) Tidak menggunakan perkataan 'aurat' untuk menerangkan tentang aurat.

2) Menggunakan bahasa teknikal. Ia menerangkan bagaimana teknik-teknik berpakaian yang betul bagi seorang wanita Islam.

3) Menggunakan ayat informasi. Maklumat yang jelas dan mudah difahami.

4) Menjadikan model yang betul untuk menunjukkan perkara yang baik, bukan menjadikan model yang salah untuk memberitahu perkara yang baik.