Friday, March 30, 2012

Kisah 'Jamal Pendek'


“Hakimi, mari baca di depan rakan-rakan kamu”, saya menjemput Hakimi membaca di hadapan rakan-rakan lain. Tadi saya ada terdengar bacaan Ustaz Penolong Doa itu. Saya jarang mendengar bacaannya, ternyata tidak selemah yang saya jangka. 

Saya berdiri memandang Hakimi yang sedang duduk dikerusinya. Dia malu-malu alah. Kepala ditundukkan, pandangan dilabuhkan ke untaian ayat-ayat doa tadi. Malunya dia, seakan saya seorang perawan cantik sedang melihatnya dengan tenungan menggoda.

“Tidak mahu ustazah, saya tidak pandai membaca”, jawab Hakimi dengan suara merengek manja.

“Masa ustazah berdiri depan Hakimi, ustazah dengar bacaan Hakimi bagus sekali. Bacaan Hakimi semakin bagus hari ini. Oleh itu, ustazah mahu rakan-rakan lain mendengar bacaan yang bagus itu. Mari ke depan”.

Hakimi terus bangkit dengan semangat mendengar ungkapan yang sakral begitu. Saya memimpin Hakimi ke hadapan kelas, memegang kedua bahunya sebagai reaksi memberi keyakinan. Seisi kelas membulatkan pandangan ke arah Hakimi.

Diam. 


Saya meneruskan kata-kata, “Baik kelas! Hakimi akan mengimami kita untuk bacaan doa yang kita belajar tadi. Hakimi akan membaca dan kamu semua mengaminkan doanya.”

“Jamal, Jamal….”. Terdengar perlahan seorang murid menuturkan kata itu.

“Ustazah, Rashid ejek nama atuk saya”, adu Hakimi. Suaranya sebak, macam unta tercekik kurma.

Saya mula memujuk Hakimi. Pujukan itu disodor oleh rasa bimbang sekiranya wujud pula adegan dramatik yang boleh mengganggu sesi P&P nanti. Walaupun ustazah sentimental orangnya, tetapi ustazah tiada kemahiran memujuk. Kemahiran merajuk itu memang sukar untuk di sangkal.

“Apa sebab Hakimi rasa tidak suka dengan nama “Jamal” itu? Tidakkah “Jamal” itu membawa maksud cantik?. Ustazah suka kalau semua orang panggil atuk ustazah cantik,” saya merawat hati Hakimi. Entah mengapa atuk saya turut terlibat dalam konstelasi memujuk Hakimi.

Saya mengumbar semula akan teknik Nabi. Nabi tidak menyiasat punca dengan bertanya “Mengapa” tetapi beliau menggantikan dengan ungkapan. “Apakah” dan “Tidakkah”. 

Saya selalu mengulang-ulang soal kepada diri sendiri dengan menggunakan dua ayat ini, “Mengapa kamu buat begini?” dan “Apakah sebab kamu buat begini”. Ternyata ayat pertama itu lebih bersifat menyalahkan dan berbentuk intonasi menuduh walaupun kedua-dua adalah ayat bertanya punca. 

“Tapi dia ejek atuk saya ‘Jamal Pendek’!”, jawab Hakimi.

"Eh, bukan aku sahaja tau, dia ni...dia ni.....dia ni pun sama", babak tuduh menuduh bermula.

Intonasi suara Hakimi mula meronta. Terlihat kolam air di matanya, menanti masa untuk berderaian seperti air hujan jatuh bercucuran dari atap rumah.

Rashid. Anak murid kail sejengkal itu memang suka mengusik hati rakan dengan jalur ejekan berwarna hitam dan putih. Jarang sekali usikannya dicorak dengan warna pelangi kerana warna pelangi itu selalu sahaja menghiburkan. Usikannya pasti membuat rakan sekelas mula masuk ke gelanggang tomoi, mahu bergaduh. 

Saya sahaja menganggap ia sekadar usikan, bukan ejekan. Yang akan kelihatan cuma wajah Rashid yang selamba, tanpa serba salah malah tersengih-sengih. Saingan gaduhnya mulalah menjelir lidah seperti unta kehausan di padang pasir. 

Akhirnya, Hakimi menangis. Saya terpaksa akur untuk mencongak ayat yang sesuai bagi menamatkan drama yang tiada pengarahnya ini. Paling penting, Hakimi berhenti menangis, Rashid tidak dimalukan dan seisi kelas beroleh pengajaran hari ini. Sepandai-pandai tupai melompat, tupai itu akan berfikir juga mahu terus melompat atau tidak. Jika tersilap teknik melompat, pasti dia terjatuh. Itu namanya "sepandai-pandai tupai."

Saya bersuara, “Apakah sifat seorang sahabat yang baik? Tidakkah apabila kita suka menyakiti sahabat-sahabat, kita bukan seorang sahabat yang baik. Tetapi kadang-kadang kita secara tidak sengaja akan menyakiti hati sahabat kita. Maka, sahabat yang baik adalah apabila dia menyakiti sahabatnya, dia akan menyedari dan meminta maaf.”

Rashid dan beberapa rakan murid saling berpandangan, mulai rasa serba salah dan tidak senang duduk. Rakan yang tidak bersalah memandang rakan yang bersalah. Rakan yang bersalah memandang rakan lain yang turut bersalah.

Saya melanjutkan ucapan kepada seluruh murid. “Sesiapa yang mula-mula meminta maaf, maka dia adalah orang yang paling berani.”

Tanpa disuruh-suruh, Rashid bingkas bangun dan berlari-lari perlahan ke arah Hakimi. Cepat dicapai tangan Hakimi dan digenggam erat tangan sahabat itu yang tadi terluka dengan ejekan "Jamal Pendek". Rakan-rakan lain terpanar melihat aksi spontan itu. Saya turut terkejut, ia berlaku begitu pantas hampir di hadapan saya berdiri.

“Aku minta maaf Hakimi sebab ejek kau tadi,” ujar Rashid.

Muka Hakimi kembali berseri. Saya lihat gelembung-gelembung senyumannya. 

“Ustazah kagum melihat tindak balas Rashid tadi. Rashid telah membuat dua kebaikan. Pertama, mengaku kesalahan dan kedua menjadi orang pertama yang meminta maaf. Inilah ciri-ciri orang yang berani,” saya memuji Rashid.

"Ceh, berani tu...berani konon...", beberapa rakan murid sambung memuji dengan disulam sedikit rasa cemburu.

Seisi kelas kembali ceria. Terpamer susunan gigi putih di sebalik raut wajah Rashid yang hitam manis. Kali pertama dalam sejarah saya menjadi guru, seorang murid yang bersalah digelar 'pemberani'.


Wednesday, March 21, 2012

Impak 3 Teknik Kepada Murid Yang Tidak Pandai Membaca



Firdaus (duduk di tepi tingkap) dan Luqman (kanan)


Cuti sekolah selama seminggu telah berlalu. Saya menjangkakan murid-murid akan terlupa banyak isi pelajaran kecuali jika mereka membuat ulangkaji di rumah. Minggu hadapan, ujian prestasi 1 akan bermula. Justeru, saya mengambil keputusan untuk membuat ulangkaji sama ada memberi latihan atau membuat kuiz.


Pertandingan Kuiz Tajwid dan Jawi tersebut adalah pertandingan di peringkat kelas sahaja. Ia salah satu pendekatan yang saya pilih untuk membangkitkan suasana belajar yang ceria setelah lama bercuti. Tambahan, mereka sudah kerap mendesak agar diadakan kuiz. Jika boleh, setiap jam belajar adalah kuiz. Kemudian, kumpulan yang menang akan meminta hadiah daripada saya. Kesimpulannya, murid-murid memang suka diberi ganjaran. Ganjaran tersebut berbentuk nama kumpulan diumumkan sebagai juara, markah, hadiah, pujian dan tepuk tangan.


Saya tidak bercadang untuk bercerita tentang perjalanan pertandingan kuiz tersebut. Sebenarnya ada sesuatu yang lebih menarik tentang dua orang murid yang paling banyak menerima impak Teknik Mendorong Gaya Nabi Muhammad iaitu Luqman dan Firdaus. Mereka antara lima orang yang tercorot dalam kelas saya tetapi kumpulan mereka berjaya memenangi Kuiz tersebut mengalahkan rakan-rakan yang jauh lebih baik daripada mereka.


Firdaus dan Luqman amat lemah membaca al-Quran dan Jawi. Setiap kali subjek al-Quran, saya akan meminta mereka membuka Buku Iqra’. Mereka juga merangkak-rangkak membaca Jawi. Jika membaca sudah lemah, sudah tentu menulis dan menjawikan tulisan rumi jauh sekali. Dalam keadaan begini, sudah tentu memenangi kuiz bagi dua subjek yang memerlukan kemahiran-kemahiran tersebut adalah mustahil. Pelik, mereka juga dapat menjawab semua soalan dan menghantar jawapan paling awal. Malah, mereka dapat menjawab satu soalan yang tidak dapat dijawab oleh semua murid lain.


Sebenarnya, saya amat mengkagumi semangat mereka untuk menguasai pelajaran. Mereka rajin bertanya meskipun amat lambat untuk faham. Kerap terlihat Luqman mengerut dahi dan tergaru-garu kepala. Selalu juga diejek-ejek rakan sebagai lembap kerana perlu diberi penerangan banyak kali. Ketika itu, Firdaus cepat-cepat menarik tangan Luqman dan berkata, “Takpe..biar aku ajar engkau”. Firdaus dan Luqman memang sahabat baik.


Saya percaya, teknik-teknik Gaya Nabi Muhammad yang saya praktikkan sebelum ini banyak memberi kesan kepada perkembangan potensi mereka. Paling menonjol adalah lonjakan self-esteem. Mereka tidak rasa bahawa diri corot, bertindak seperti murid pintar dan hebat.


Kebiasaannya, bagi murid yang lemah membaca, mereka malu untuk cuba membaca di hadapan rakan-rakan. Berbeza dengan Luqman, dia selalu angkat tangan untuk membaca teks walhal dia merangkak-rangkak dan selalu salah menyebut perkataan. Sudahlah merangkak-rangkak, diejek pula, tetapi masih tidak serik-serik mahu memperdengarkan bacaannya.


Firdaus pula rajin menunjukkan hasil tugasan kepada saya. Apabila menulis nota, ditunjuki notanya yang penuh lukisan kartun. Tulisan tidak cantik tetapi tidak segan ditunjukkan kepada saya. Apabila diberi latihan, selalu sahaja jawapannya salah tetapi tidak serik-serik ditunjuki jawapannya kepada saya. Seolah-olah dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.


Untuk memudahkan pembaca, saya ingin berkongsi teknik dan contoh ucapan yang saya aplikasikan kepada mereka secara satu persatu. Bagaimanapun, saya kembalikan kepada Allah setiap ketentuan dan kemudahan yang diperoleh.


1. Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad



Saya tidak terlepas memberi pujian kepada Luqman setiap kali dia selesai membaca dan menghafaz al-Quran. Saya berikan pujian tersebut secara terbuka di hadapan murid-murid lain. Saya cuba tidak menegur murid yang mengejeknya sebaliknya saya memuji Luqman yang telah berjaya menamatkan bacaan. Lama kelamaan rakan murid berhenti mengejeknya kerana perasan sikap mereka tidak dipedulikan. Hanya perkara baik sahaja yang akan mendapat ganjaran istimewa.


“Ustazah kagum melihat usaha Luqman untuk membaca. Walaupun dia membaca merangkak-rangkak tetapi Luqman habiskan juga hingga ayat terakhir. Kalau Luqman terus menerus membaca tanpa pedulikan apa kawan-kawan kata, ustazah yakin mesti Luqman akan mahir membaca dengan cepat.”


Kadangkala saya menukar ayat memuji.


“Wah, Luqman sudah dapat membaca lebih baik daripada semalam. Dulu langsung tidak boleh, sekarang sudah boleh sebut perkataan dengan betul. Ustazah mahu dengar lagi nanti, mesti bacaan Luqman akan lebih bagus dari hari ini sebab Luqman berusaha membaca.”



Begitulah, setiap hari saya akan mencari kebaikan pada setiap tindakannya dan memuji. Paling malas, saya akan tinggalkan juga pujian sebagai “Bagus Luqman!”. Namun begitu, "Bagus Luqman!" bukan bentuk pujian gaya Nabi. Pujian yang sebenar adalah puji kebaikan dan nyatakan impak kebaikan itu seperti ayat di atas tadi .(Nabi memuji hasil kerja)



2. Teknik Memberi Gelaran


Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim


Saya telah mengaplikasikan Teknik Memberi Gelaran sebagaimana Rasulullah memberi gelaran ‘pembela’ baginda kepada Zubair. Saya melantik ramai murid menjadi Guru Penolong antaranya Luqman sebagai Guru Penolong Ucapan dan Firdaus sebagai Guru Penolong Akhlak. Guru Penolong Ucapan dan Guru Penolong Akhlak adalah jawatan paling kerap berperanan dalam kelas.


Sebagai Guru Penolong Ucapan, Luqman akan sentiasa bersedia untuk mengetuai ucapan “Assalamualaikum Ustazah”, “Terima Kasih”, “Selamat…..”. Setiap hari, entah berapa kali dia memimpin rakan-rakannya memberi ucapan kepada guru.


Oleh itu, saya menjangkakan jawatan ini telah menaikkan self-esteem Luqman dan melatih sifat berani dalam dirinya. Sebab itu, Luqman tidak malu membaca teks dalam buku walaupun merangkak-rangkak dan salah, dia sudah biasa mengeluarkan suara dalam kelas.


Manakala Firdaus pula memiliki konsentrasi yang amat tinggi semasa saya memberi penerangan. Dulu, Firdaus paling suka bercakap-cakap dengan rakan sebelah apabila saya bercakap di hadapan. Apabila diberi kerja, dia keluarkan macam-macam alat permainan di atas mejanya. Saya kenal dengan set permainannya antaranya kertas yang dikoyak dari buku latihan dan dibuat bentuk gol, bola dan pemain-pemain. Kali ini, amat jarang saya melihat sikap Firdaus itu. Sikapnya sekarang seiring dengan gelarannya sebagai Guru Penolong Akhlak.



3. Teknik Tidak Menegur Kesilapan
(aplikasi hadith ekor kuda di sini)


Firdaus dan Luqman suka belajar Tajwid walaupun mereka belum sampai peringkat al-Quran. Satu hari, semasa subjek Tajwid , saya meminta murid mencari contoh hukum tajwid Mad ‘Arid lilsukun. Firdaus datang menunjukkan jawapannya kepada saya tetapi jawapan yang diberi ialah contoh hukum Mad Wajib Mutasil. Jawapan itu salah dan tidak memenuhi kehendak soalan. Namun begitu, saya tidak katakan kepada Firdaus, “Jawapan kamu salah!”


Sebaliknya saya katakan begini.

“Jawapan kamu betul!. Jawapan itu betul untuk hukum Mad Wajib Mutasil. Untuk mencari hukum Mad ‘Arid Lilsukun pula, caranya begini……”.

“Oh, saya hendak padamlah buat yang baru ustazah”, Firdaus berminat mahu membetulkan jawapan.


“Kamu tidak perlu padam jawapan itu. Kamu sambung latihan dengan mencari jawapan Mad ‘Arid lilsukun pula. Dengan cara itu kamu melakukan kerja lebih banyak dari rakan-rakan yang lain. Kamu mencari dua hukum tajwid sedangkan rakan kamu hanya mencari satu hukum sahaja.”

Firdaus kembali ke tempat duduknya dengan senyuman yang berbunga-bunga. Sebab itu, dia tidak serik-serik tunjukkan kerjanya. Dia fikir kerjanya betul sahaja dan gurunya sentiasa kata bahawa dia buat perkara yang betul.

Untuk maklumat tambahan bersama hadith berkaitan boleh baca di link di bawah


Saturday, March 10, 2012

Jumaat Yang Santai & Menghiburkan



“Ustazah, hari ini tak mahu belajar, kami mahu bersihkan kelas”, Luqman, Natasha, Alia dan beberapa murid lain mengerumun saya yang baru berdiri di muka pintu kelas 5 Umar.
Selalunya begitulah tabiat murid-murid setiap kali saya masuk ke kelas. Belum sempat menghela nafas yang tercungap-cungap mengejar waktu, sudah dituju dengan pelbagai bau badan. Hehe…
Belum habis beri salam dan berdoa, mereka sudah mula mengerumun dengan terjahan yang beragam. “Ustazah, mahu bayar duit yuran”, “Ustazah, ini duit pergi Cameron Highland”, “Ustazah, duit buku UPKK RM 21 kan?”, “Ustazah esok saya tidak datang, ada bola sepak”, “Ustazah…..,ustazah,……dan macam-macam ustazah lagi”.
“Ustazah, ustazah cantiklah hari ini.” Ini ucapan pada awal waktu yang paling saya suka sekali. Tidak perlu tunggu beri salam dan baca doa, saya seronok menerimanya. Saya akan tersenyum pisang, senyum melengkung macam bentuk pisang itu. Kita yang sudah dewasa ini pasti suka apabila penampilan kita dipuji, inikan pula anak-anak kecil yang sejuta kali lebih gembira apabila kebaikannya dipuji. Puji kebaikannya, bukan orangnya mengikut Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad.
“Woi, berdiri dulu la..beri salam!”, suara Rahizan, Guru Penolong Disiplin menggemakan kelas. Huh! Mujur Rahizan datang hari ini. Ustazah boleh simpan suara. Selain kuat dan nyaring, suaranya ada nilai komersil juga. Sedap mendengar Rahizan membaca al-Quran.
Selesai perhimpunan petang tadi, terdengar lagi suaranya menegur rakan sekelas yang masih bermain-main di tepi longkang masjid. “Woi, masuk masjid la, solat Asar!”, dari jarak 60m Rahizan menjerit, Saiful Amri lari lintang-pukang sambil memegang kasutnya masuk ke dalam masjid.
Itu sebahagian daripada tugas Rahizan, Guru Penolong Disiplin iaitu memastikan rakan murid mematuhi disiplin kelas. Luqman, Guru Penolong Ucapan akan menyambung tugas mengetuai ucapan salam kepada guru. Justeru, saya perhatikan Luqman adalah murid yang paling bersedia setiap kali saya keluar masuk kelas. Setelah salam berjawab, Nurhakimi sebagai Guru Penolong Doa akan mula memberi arahan, “Semua tadah tangan untuk membaca doa, bismillah…….”. Murid lain menyambung baca. Semalam tanpa disuruh, Hakimi berdiri di hadapan kelas membimbing bacaan doa.
Episod berkaitan Guru Penolong, cara lantikan dibuat dan kisah-kisah manis di sebaliknya akan saya ceritakan kemudian. Saya mahu bercerita aktiviti yang telah berlaku pada hari Jumaat, hari sebelum bermula cuti pertengahan penggal ini. Awal tadi, mereka sudah minta untuk tidak diadakan sesi P&P hari ini. Sekumpulan murid begitu ghairah mahu membersihkan kelas. Elektrik sudah dibaikpulih, bilangan kipas sudah bertambah dan putarannya tidak lagi tergedik-gedik seperti dulu.
Semalam, sewaktu merasmikan kipas baru, habuknya terjatuh atas baju Haiqal Najmie yang pembersih itu. Agakan saya, barangkali itu alasan mereka untuk membersihkan kelas hari ini. Ikutkan kemahuan, mereka hendak basuh dan gosok lantai kelas sekali. Ada yang memberi cadangan agar semua dapat hadir ke sekolah untuk aktiviti gotong-royong semasa cuti sekolah nanti. Wah! Mereka sudah sayangkan kelas mereka.
“Baik, kita tidak akan belajar hari ini tetapi kita akan buat aktiviti. Selepas rehat baru kita bersihkan kelas”, saya bersetuju.
“Hoooraayyy!”, mereka bersorak tanda gembira.
Sebenarnya, saya sudah siap sedia dengan peralatan aktiviti. Saya dapat menjangkakan murid-murid yang sudah diselimuti ‘mood’ cuti tidak gemar mengikut rutin pembelajaran seperti format biasa. Namun begitu, mempersetujui cadangan mereka tidak bermaksud tiada sesi pembelajaran hari ini. Saya cuma mengubah kaedah mengajar dan belajar daripada bercakap-cakap kepada sesuatu yang menarik minat mereka.
Setelah kumpulan selesai dibentuk, saya memulakan sesi, “Hari ini kita akan menyiapkan peta minda untuk ditampal pada papan kenyataan. Ustazah bagi pilihan kepada setiap orang untuk pilih topik yang kita sudah belajar. Kita akan hias kelas dengan hasil kerja semua. Selepas itu, ustazah akan buat sesi bergambar di tapak perhimpunan. Masing-masing akan pegang hasil kerja masing-masing.”
“Berapa banyak masing-masing da….”, Natasha and ‘the gang’ menyeloroh. Yang lain turut tertawa.

Kumpulan untuk subjek Tajwid. Malu-malu belaka.

Kumpulan untuk subjek Akhlak. Ada dua orang yang menggelarkan dirinya 'bodyguard' ustazah.

Kumpulan untuk subjek Feqah, Natasha and the gang


Kumpulan Sirah dan Luqman lebih selesa dengan dunianya yang tersendiri

Eh, ada murid corot baru masukkah?

Firdaus dan Luqman membersihkan kipas. Luqman memang suka bersihkan kipas sejak darjah 4 lagi. Harap dia anak yang rajin bersihkan kipas di rumah juga.

Lepas penat bekerja, mereka buka warong kopi. Hakimi dan Aiman Haiqal sedang menebar roti canai! Ustazah order dua..

Hoooraayyy!!!

Inilah kelasku...angkasaraya yang dihuni oleh burung-burung yang bebas berterbangan..

Thursday, March 1, 2012

Puji Bagus, Kerja Bagus...


Saya begitu kagum melihat perkembangan potensi murid-murid 5 Usman dan 5 Umar semenjak saya mengaplikasikan Teknik Motivasi Gaya Nabi Muhammad. Kelas corot ini ternyata melukis di kanvas hati saya dengan pelbagai corak, warna dan perasaan. Segala watak-watak manusia ada terlakar di atasnya. Ada watak yang menghiburkan dan menguji kesabaran.

Kali ini, saya ingin berkongsi cara saya memotivasikan murid untuk menghasilkan nota yang kemas, cantik dan dihantar tepat pada masanya. Di sekolah saya, buku nota dan latihan murid akan dinilai oleh guru dengan gred cemerlang, baik, memuaskan dan lemah. Kemudian, buku mereka akan disahkan oleh pihak pentadbir sebelum diberi kepada ibu bapa untuk mendapatkan tanda tangan mereka. Hal ini bertujuan agar ibu bapa dapat melihat perkembangan hasil kerja anak-anak di sekolah.

Ramai menganggap tulisan murid kelas corot tidak cantik. Apabila menulis menggunakan pen dan berlaku kesalahan, maka hasil nota bertambah tidak kemas. Mereka semakin tidak yakin apabila hasil mereka dicemuh rakan atau diteguri guru.

Tanpa dorongan kata-kata positif oleh guru, kerja dilakukan dengan sambil lewa. Mereka tidak termotivasi menganggap nota sebagai hasil kerja yang harus dibanggakan.Mereka rasa diri mereka lemah, tidak mampu mencipta kreativiti, tidak sanggup menanggung risiko kesalahan dan bimbang diejek-ejek rakan. Sikap berani mencuba juga terbantut.

Barangkali dialog tradisi yang biasa kita dengar antaranya:

a) “Ya Allah, tulisan kamu ini macam cacing. Satu pun cikgu tak faham. Buat balik!”

b)”Apa yang kamu tulis ini Hidayah. Ini huruf apa ini. Cuba baca semula, ustazah nak dengar”

c) “Semua kena tulis cantik-cantik, tidak cantik, saya baling buku kamu keluar”

Tentu ramai pernah memiliki rekod dibaling buku keluar oleh guru semasa bersekolah dulu. Murid rasa tercalar dan maruah dijatuhkan di hadapan rakan-rakan. Paling tidak, hasil yang tidak kemas atau sukar difahami guru akan dilakar dengan tanda soal (?) yang besar penuh satu muka dan diconteng dengan perkataan “Buat Semula”. Kasihan, tiada kata-kata pujian mengikut Teknik Memuji Gaya Rasulullah ditinggalkan dan berbekas di hati pelajar ketika itu.

Dalam kelas, saya mendorong murid-murid dengan cara;

a) Saya membenarkan murid menggunakan pen pelbagai warna kecuali warna merah. Merah adalah warna khas untuk guru memperbaiki atau meninggalkan komen. Ia menimbulkan keseronokan kerana merasakan subjek agama seperti Feqah, Tajwid, Akhlak, Sirah dan lain-lain adalah subjek Pendidikan Seni. Mereka suka melukis dan mewarna.

b) Saya akan berjalan dan memerhati murid menulis. Bagaimanapun hasilnya, pasti akan menerima pujian menggunakan teknik memuji Nabi.

“Ustazah kagum melihat kamu menulis nota. Bersungguh-sungguh hingga tidak angkat-angkat kepala. Tulisan yang kemas memudahkan ustazah menyemaknya. Kamu pasti akan seronok belajar dengan nota kamu sendiri.”

c) Jika saya melihat hasil kerja yang bagus meskipun belum selesai diusahakan, saya akan terus mengangkat buku murid tersebut, menunjukkan hasil kerjanya di hadapan murid lain dan memuji secara terbuka. Ia mendorong murid lain untuk menghasilkan nota yang bagus dan berusaha menyiapkan kerja segera. Mereka tidak sabar menunjukkan hasil kerja kepada guru dan mendengar pujian yang diucapkan di hadapan rakan-rakan.

“Wah, tengok ini nota Arif Aiman. Ustazah seronok Arif Aiman dapat menyiapkan nota paling awal. Hasilnya pun kemas, cantik, ada peta minda. Ustazah senang menyemaknya. Bila kamu buat nota dengan cara begini, kamu akan seronok membaca bila belajar nanti,” saya memuji Arif Aiman.


Saya mengambil gambar Arif Aiman dan buku notanya. Sejurus dari itu, rakan murid yang melihat bertungkus lumus menyelesaikan tugasan. Seorang demi seorang hadir menemui saya, menunjukkan hasil kerja dan saya menangkap gambar. Ada juga yang tidak sudi gambarnya ditangkap.

Pujian dan gambar tersebut adalah suatu bentuk ganjaran.

d) Sebelum memberi tugasan, saya memberi kata-kata dorongan;

“Ustazah memberi kebebasan kepada kamu menulis nota mengikut kreativiti kamu sendiri. Sebab ustazah yakin dan percaya yang kamu boleh menghasilkan nota yang kemas dan cantik.”

e) Tidak mengkritik atau menegur murid yang tidak menghasilkan kerja yang berkualiti. Apabila melihat rakan mereka menerima ganjaran dalam bentuk pujian dan gambar, mereka termotivasi sama. Hal ini berkesan apabila ada murid (saya lupa murid tersebut), meminta kebenaran untuk membuat semula kerja tadi.

“Ustazah, nak koyak nota ini boleh tak? Nak buat yang baru, tak cantiklah.”

Dengan teknik di atas, hampir semua murid menghantar kerja apabila selesai sesi P&P dengan hasil kerja penuh “Gaya, Mutu dan Keunggulan”. Ada dua orang murid yang tidak hantar kerana mempunyai kelemahan menulis lambat.

Mari kita lihat hasil kerja mereka. Saya sangat teruja dan hampir tidak percaya. Lebih bagus dari kelas pintar 5 Abu Bakar.


Nota Qistina sebelum ini

Selepas teknik mendorong, lihat nota Qistina. Walau sakit kaki tetap siapkan kerja.

Akmal (5 Usman-kelas paling corot) terpilih mendapat gelaran 'nota paling cantik dan kemas' kategori lelaki. Penuh lukisan 'angry bird' satu muka.

Izzah dari kelas 5 Usman juga mendapat gelaran 'nota paling cantik dan kemas' kategori perempuan

Di bawah ini adalah hasil kerja murid 5 Umar

3 sekawan - Durra, Afifah dan Aileen seronok bergambar dengan hasil kerja masing-masing

Ain Qistina

Zikry waktu masih tidak memakai songkok. Semalam, Jumaat, Zikry sudah potong rambut. Dia tidak perlu tunggu cuti panjang tapi sudah potong rambut.

Ini Luqman, murid yang paling suka memuji saya apabila saya puji murid lain

Rahizan yang ibarat macam abang dalam kelas 5 Umar

Amsyar yang pendiam tetapi saya suka tengok dia, hensem....

Firdauss memang suka melukis. Cuba perhatikan, ada satu gambar yang melucukan

Nota Nazifa penuh satu muka, sesuai dengan perwatakannya yang berkeyakinan dan berani.

Afifah, saya lantik dia sebagai pegawai kewangan. Teliti...macam cara dia membuat nota juga.

Firdaus Hakimi, selalu siap kerja paling awal walaupun dia tidak reti duduk diam.

Tidak tahulah sebab ruang atas nota Aiman ini dibiarkan kosong. Mungkin dia belum dapat mengagak saiz peta mindanya itu.

Arif Aiman paling cepat siap tugasan. Notanya kemas dan kreatif juga.

Afiqa juga antara murid yang paling banyak perubahan setelah saya aplikasikan Teknik Mendorong Nabi.

Semua murid-murid darjah 5 tahun ini adalah murid-murid yang pernah saya ajar semasa darjah 4. Saya menjadi guru utama subjek tajwid ketika itu justeru saya mengikuti perkembangan mereka dan begitu berpuas hati melihat lonjakan potensi berbanding sebelum ini.


Selain daripada Teknik Memuji Gaya Nabi (di sini), Saya tinggalkan nota berkaitan Teknik Memberi Ganjaran yang disalin dari Blog Ustazah Khadijah (di sini). Selamat meneguk ilmu dari usaha kami ini.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Anas bin Malik yang berbunyi begini, Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, “Yarhamkallah.” Manakala yang seorang lagi pula bersin tetapi tidak didoakan oleh Nabi Muhammad saw. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, “Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?” Nabi Muhammad saw menjawab, “Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulilliah." (Lembaran aktiviti 1, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Ganjaran)


Dalam hadith ini, terdapat beberapa prinsip dan teknik yang harus kita faham.

1. Ganjaran diberikan apabila kerja dibuat dengan teknik yang betul.
Lelaki yang pertama bersin dan dia menyebut Alhamdulillah. Disebabkan dia melakukan kerja itu dengan betul, Nabi Muhammad saw memberikan ganjaran kepadanya. Ganjaran itu adalah doa.

2. Kerja yang dibuat dengan teknik yang salah tidak diberi ganjaran.
Lelaki yang kedua membuat kerja dengan teknik yang salah. Dia bersin tetapi dia tidak menyebut Alhamdulillah. Nabi Muhammad saw tidak memberi ganjaran kepadanya (tidak mendoakannya).

3. Apabila kerja itu dibuat secara terbuka, maka ganjaran diberikan juga secara terbuka
Lelaki itu bersin di tempat terbuka di mana orang-orang lain dapat melihat mereka bersin. Maka Nabi Muhammad saw memberikan ganjarannya secara terbuka juga, yakni di ketahui orang-orang lain. Dalam peristiwa ini, Nabi Muhammad saw mendoakan lelaki itu dengan suara yang jelas dan dapat didengar oleh orang lain yang kebetulan ada di situ.

4. Orang yang melakukan kerja dengan teknik yang salah tidak dikritik.
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad saw tidak menegur kesalahan lelaki yang bersin yang tidak menyebut Alhamdulillah. Nabi Muhammad saw cuma tidak memberi ganjaran, yakni beliau tidak mendoakan lelaki itu.

• Nabi Muhammad saw tidak memarahi orang yang tidak puas hati itu dengan berkata: “Kenapa awak cemburu?”

• Nabi Muhammad saw tidak menasihati orang yang tidak berpuas hati itu dengan berkata: “Kalau awak hendak saya doakan awak, awak kenalah perbaiki kerja awak.”

• Nabi Muhammad saw tidak membandingkan orang yang tidak puas hati itu dengan orang yang dapat ganjaran dengan berkata: “Lain kali awak kenalah buat kerja elok-elok macam Si Fulan, barulah saya beri awak ganjaran macam dia juga.”

• Nabi Muhammad saw tidak mengkritik orang yang tidak puas hati tu dengan berkata: “Sikap awak tidak betul. Awak hendak saya beri ganjaran, tetapi kerja awak tidak semenggah!” (Lembaran aktiviti 1, Mendorong Pelajar Kelas Corot: Teknik Memberi Ganjaran)

Murid Yang Sungguh Berbekas di Hati Saya



Saya ada seorang murid, Zikry namanya. Dia selalu sahaja tidak memakai songkok sepanjang tahun lepas, sebab songkok lamanya sudah lusuh dan bersaiz kecil. Bajunya lusuh sekali. Saya menjadi guru kelasnya pada darjah 4 dan tahun ini di darjah 5. Maka, saya amat mengetahui perkembangannya dalam tempoh dua tahun ini.

Macam-macam cara saya gunakan untuk pastikan dia memakai songkok. Saya tidak mahu dia didenda. Tiada guru yang tidak sayangkan pelajarnya, cuma cara guru menterjemahkan sikap dalam membentuk anak didiknya, itu yang berbeza. Saya cubit, marah, bawa ke guru disiplin, denda berdiri tengah panas kerana kesalahan tidak memakai songkok.

Sehinggalah pada minggu lalu saya menggunakan teknik memuji gaya Nabi Muhammad. Saya panggil Zikry, saya senyum dan lembut sekali saya berkata:

"Ustazah kagum Zikry sudah rajin belajar, tulisan Zikry cantik, Zikry beri tumpuan dan bersungguh-sungguh. Ustazah akan bertambah kagum kalau Zikry memakai songkok. Zikry bukan sahaja nampak pandai tapi semakin kemas dan hensem."

Zikry tersipu-sipu dipuji begitu. Saya ulang pujian itu berkali-kali dengan ayat yang hampir sama. Biar Zikry ingat hingga pulang ke rumah nanti. Kalau boleh, biar ucapan ini menjadi ingatan sampai bila-bila. Hingga satu saat ketika saya sudah tua, Zikry akan ingat inilah gurunya yang menegur dengan penuh kasih-sayang.

Keesokan harinya Zikry memakai songkok baru. Kebetulan hari itu ialah hari Jumaat, hari perhimpunan. Ketua Guru memanggil murid yang melakukan kesalahan berdiri di hadapan murid lain. Zikry terselamat.

Segera saya menemui Zikry, "Beruntung Zikry hari ini kerana akur kepada kata ustazah semalam." Zikry tersenyum pisang. Anda bayangkan bentuk pisang, begitulah senyumannya. Senyuman yang tidak berbentuk pisang adalah senyuman getir.

Sehingga hari ini saya memberi masa untuk Zikry memotong rambutnya. Dia perlu tunggu cuti sekolah sebab pengasuhnya yang akan memotong rambutnya secara percuma. Syukur saya bertemu dengan teknik Nabi ini. Apabila terkenang tindakan saya dahulu, saya amat kesal sekali.

Hari ini Zikry tidak hadir ke sekolah. Dia mengikuti aktiviti ko-kurikulum di sekolah kebangsaan. Ketidakhadirannya amat saya rasai. Dia murid yang paling berbekas dihati saya. Untuk kali ini saya bertanya, "Mana Zikry, tidak datang kah hari ini?".

Jika anda yang membaca catatan ini adalah ibu atau bapa Zikry, terus terang saya katakan bahawa "anak tuan adalah murid yang saya amat sayangi."

Ya, niat dan usaha itu buah keberkatan. Rasulullah kekasih Allah, apa yang lahir daripada beliau dipimpin wahyu. Selamat mengajar dengan Teknik Mendorong Gaya Rasulullah.