Friday, March 21, 2014

Teknik Memuji : Testimoni yang Mengejutkan


Ini adalah perkongsian daripada Tuan Mohd Rozmi Jinin, seorang guru pengamal Teknik Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad.




Pada hari Rabu baru-baru ini, saya terkejut dengan prestasi pelajar ini. Namanya Awang Azmawie, dan kawan-kawan sekolah biasa memanggilnya 'Along'.

Mereka yang mengenalinya terutama yang menjadi gurunya tentu faham dan maklum bagaimana prestasi pelajar ini.

Saya baru mengenalinya pada tahun 2012 dan sebagai guru kelas, serba sedikit dapat mengetahui yang Along kurang tahu membaca Al-Qur'an walaupun sudah di tahun 4.

Tahun ini Along sudah berada di tahun 5 dan masih dikategorikan golongan pelajar lemah Al-Quran. Boleh dikatakan dia tidak dapat membaca.

Setelah mengaplikasikan Teknik Nabi Muhammad beberapa bulan, hasilnya sangat mengejutkan.

Ketika gambar ini diambil, pelajar sedang menghafaz surah Al-Qari'ah.

Setiap pelajar yang sudah hafaz saya jemput tampil kehadapan untuk di tasmi' dengan berkata: "Adakah diantara kalian yang sudah hafaz surah Al-Qari'ah?"

Ramai pelajar yang angkat tangan, terutama pelajar perempuan.

Setiap kali selesai tasmi' saya akan puji dengan teknik Nabi Muhammad memuji sikap dan nyatakan impak dengan berkata: 

"Subhanallah! Bagusnya kamu sudah hafaz surah ini. Allah suka mereka yang menghafaz Al-Quran. Tahniah buat kamu."

Pelajar yang mendapat pujian tesenyum dan semakin ramai pelajar yang angkat tangan untuk ditasmi' termasuk si 'Along' ini.

Saya terkejut melihatnya mengangkat tangan dan terus memuji dengan berkata: 

"Subhanallah! Kamu pun sudah hafaz surah yang mempunyai sebelas ayat ini?"

Along menganggukkan kepala. Saya seperti bermimpi, namun saya buat seperti biasa.

Along pun memulakan bacaannya...

Along dapat membacanya dengan lancar. Mahu menangis gembira namun ditahan agar pelajar tidak perasan dan saya berkata kepadanya, 

"Boleh kamu ulang sekali lagi? Saya suka mendengar suara kamu membaca surah ini."

Along mengangguk lalu membacanya semula.

Sah, dia dapat menghafaz kesemua ayat.

Saya pun memuji menggunakan teknik Nabi Muhammad iaitu 'puji sikap yang baik dan nyatakan impak' dengan berkata, 

"Subhanallah! Saya kagum kamu dapat menghafaz kesemua ayat dan suara kamu jelas. Allah suka orang mahu menghafaz Al-Quran. Tahniah!"

Along pun duduk ke tempatnya semula sambil tersenyum lebar. Biarpun dia tidak dapat membaca Al-Quran dengan baik namun berusaha menghafaznya melalui bacaan kawannya yang sudah hafaz.

Sebelum ini Along memang kurang rajin belajar, menulis, membaca dan hadir ke sekolah.

Dia memang antara pelajar corot dalam kelas saya, namun setelah mengapliksikan "Mendorong Pelajar Corot menggunakan Teknik Nabi Muhammad" dia mahu membuat kerja dan yang mengejutkan, mahu menghafaz.

Demi Allah dan Rasul, saya sangat terkejut dan rasa sangat gembira dengan impak ini.