Wednesday, January 23, 2013

Mendorong Perubahan Sikap dengan Ganjaran Sosial dan Material


Cikpuan Siti Nadhirah Khalid ialah peserta bengkel Teknik Mendorong Pelajar Corot di Wangsa Melawati, Gombak. Ini catatan bagaimana beliau mempratikkan teknik nabi ke atas pelajar beliau.

 


Beliau menulis...

Bismillah.
Nak kongsi sedikit kisah manis dalam hidup saya kini. Pelajar yang saya sayangi, Putra (sedang menulis). Pelajar tingkatan 5.

Alkisah, hari-hari diawal tahun minggu pertama untnk sesi persekolahan 2013. Putra dikenali sebagai pelajar yang paling mendapat perhatian guru, dari sisi sebaliknya. Saya seawal pagi meng'scan' list pelajar yang akan saya ajar untuk dijadikan bahan utama dalam praktikal pada teknik gaya nabi muhammad s.a.w yang kita sukai ini. Antaranya beliau si tinggi lampai,gagah perkasa dan sangat banyak karenahnya :)

Kelas pertama, Sejarah SPM. Saya berazam ingin mengaplikasikan teknik memuji gaya nabi. Semampunya saya. Mungkin tidak tepat namun usaha memuji itu saya cuba lakukan dan teruskan dengan penuh kecintaan. Sebelum saya mulakan dialog, sekadar makluman, di sekolah saya panggilan untuk guru-guru ialah ustaz atau ustazah walaupun mengajar akademik atau dinniyah. 

 "Pelajar-pelajar yang ustazah sayangi, ustazah kagum hari ini semua nampak bersemangat, tak sabar nak belajar, berkobar-kobar, kemas dan keadaan kelas yang sangat selesa. Dengan semangat kamu semua ini ustazah yakin kamu akan dapat skor sejarah A+ untuk SPM!, boleh??" soal saya, meraikan persoalan saya tadi, pelajar dengan senyuman yang berbunga bunga menyahut "insya Allah". Saya teruskan dengan pujian kepada individu. Apa saja yang terlintas saya cuba luahkan.

Berbalik pada Putra, seorang pelajar yang agak memilih guru. Mengikut selesa dan minatnya. Saya dengan pantas mngambil kesempatan dengan memulakan umpan. 

Putra asalnya membawa whiteboard kecil untuk mengganti buku nota sejarah. Pelik bukan? Saya terkejut, namun pantas untuk tidak menyiasat dan tidak menghukum serta cuba memuji atas usaha ingin menyalin peta minda untuk reframing bab 2 tingkatan 4.

"Putra, next class bawa buku nota ya." Saya merayu. 

"Saya tiada buku nota ustazah, tak beli pun." Sambil dia tersenyum senyum cuba menjentik naluri saya untuk bertanya lagi dan menghukumnya seperti yang disangka. 

"Tak apa, bagus.. esok ustazah janji akan hadiahkan 2 buku panjang untuk Putra, satu nota dan satu untuk latihan." Putra besarkan mata, terkejut dengan respon saya. Dia senyum hairan.

Hari berikutnya, saya jemput Putra ke bilik guru untuk tunaikan janji saya. "Nah, belajar sungguh-sungguh, siapkan homework dan nota sejarah, ustazah yakin Putra boleh dapat A." Dalam hati saya sahabat-sahabat, moga Allah hadiahkan kesedaran pada Putra yang sangat baik ini. Dia senyum. Bangga. Suka.

Keesokannya, dalam kelas selepas reframing pelajaran sebelumnya, saya memeriksa setiap nota dan latihan pelajar-pelajar saya seorang demi seorang. Penghargaan adalah satu keperluan. Menitik air mata saya melihat nota Putra lengkap, berwarna-warni, tersusun, lakaran peta mindanya, Allah.. Tidak disangka. Perubahan yang sangat membahagiakan. Saya hadiahkan pujian untuk galakan. Tepukan gemuruh diberikan oleh rakan-rakan sekelas kepada Putra.

Dia nampak puas. Dihargai. Lebih yakin. Lebih rajin. Itu dia, apatah lagi saya. Syukurnya ya Allah.. Rangkap-rangkap kisah inilah membuatkan saya yakin bahawa tiada hukuman kepada pelajar corot, kurang minat, tidak semangat dan gemar mencipta alasan. Berikan mereka sedikit perhatian, penghargaan dengan pelbagai cara.

Allahumma solli 'ala sayyidina muhammad ♡

Mendorong Anak Mudah Bangun Pagi




Foto menunjukkan Puan Dr. Aida Suzila Jusoh, seorang pengamal perubatan...

Beliau ialah pengurus bengkel saya di Bangi pada 3/2 dan 3/3. Beliau memiliki modal sosial yang bagus. Pagi buka pendaftaran bengkel, sebelum malam sudah penuh penyertaan 100 orang.

Beliau berkongsi bagaimana mendorong anak-anak mudah bangun pagi. Beliau menulis....

Teknik mendorong dimulakan dari sebelah malam lagi. Sebelum anak-anak tidur, sediakan minda mereka supaya bersedia bangun pagi dengan gembira. Luangkan sedikit masa beberapa minit untuk belai jiwa mereka untuk mewujudkan perasaan gembira, tenang dan riang mereka @, etc bercerita, bertanya khabar, membaca doa tidur bersama.

Apabila mereka sudah selesa, buat ayat tawaran.

"Mahukah anak-anak soleh mama (saya memanggil nama mereka diikuti dengan panggilan anak soleh) mengetahui bagaimana syaitan merantai leher kita semasa kita tidur supaya kita susah mahu bangun tidur?"

"Ya, mahu," jawab anak-anak.

"Mama kagum dengan anak-anak mama yang suka belajar. Syaitan merantai leher kita semasa kita tidur. Apabila bangun tidur, hendaklah kita membaca doa bangun tidur, mengambil wudhuk dan solat subuh 2 rakaat, rantai itu akan putus."

Jadi esok pagi, apabila mendengar bunyi azan, anak-anak terus bangun, baca doa tidur, ambil wudhuk, solat subuh, mandi dan gosok gigi, berpakaian lengkap dan turun untuk sarapan. (menerangkan peraturan tanpa mengkritik spt cth: selalu haris bangun lambat, sudah puas mama beritahu banyak kali supaya bangun cepat/gosok gigi etc)

Pada pagi harinya, apabila mereka melakukan salah satu dari perkara di atas sahaja pun, mereka sudah layak dipuji dan beri pujian dengan serta merta.

Kesan mengaplikasikan teknik nabi ini: sekarang, bermula pada januari ini, anak saya saiful, 9 dan haris,7 sudah upaya terjaga sendiri apabila mendengar azan subuh, dan terus mandi, solat, bersiap tanpa disuruh.

------------------------------------------------------------------------

Nota saya: Puan Dr. mahir menggunakan ayat tawaran dengan memulakan pertanyaan, "Mahukah....". Apabila anak-anak bersedia mendengar tawaran itu, Puan Dr. memberikan nasihat yang mengandungi informasi. Beliau tidak berleter-leter atau nasihat-nasihat.