Thursday, December 25, 2014

Mendorong Pelajar Gaya Aamir Khan.





Taare Zameen Par.

Ringkasnya, ia sebuah filem yang mengisahkan tentang seorang guru bernama Ram Shankar Nikumbh, lakonan Aamir Khan, yang menggunakan strategi  'bakat' sebagai sumber estim bagi mengembalikan motivasi seorang pelajar Dyslexia, Ishaan Nandkishore Awasthi.


Selain bakat akademik, bakat kemahiran boleh menjadi sumber estim setiap orang. Estim adalah apa yang kita percaya tentang nilai diri kita. Individu yang mempunyai estim diri tinggi akan berasa seronok dengan dirinya. Estim diri rendah menjadikan individu itu tidak menyukai dirinya.


Ternyata, Ram Shankar Nikumbh, seorang guru yang kaya dengan bahasa bakat berjaya memberi "sayap" kepada Ishaan supaya dia boleh terbang lebih tinggi dan jauh dalam hidup. Beliau membantu Ishaan menerbitkan kepercayaan diri melalui bakat melukis yang tidak lazim ada pada pelajar lain.

Kepercayaan diri dan kejayaan saling berkait rapat. Ishaan kembali percaya diri.


Ini strategi yang guru Ram Shankar Nikumbh lakukan:



[1] Mengubah konsep diri Ishaan dari konsep diri negatif kepada konsep diri positif

[2] Memperbaiki kekurangan Ishaan yang tidak mengenal huruf, secara perlahan-lahan, dalam rangkuman ilmu pedagogi mengajar kanak-kanak dyslexia

[3] Mengenalpasti potensi dan bakat Ishaan

[4] Mencipta peluang supaya Ishaan boleh menunjukkan bakat dan kerja yang mampu dia lakukan

[5] Pelajar dan guru dapat bertindak balas dengan maklumat dan pengalaman baru yang jarang mereka lalui sebelum itu.

[6] Estim diri pelajar meningkat dalam satu episod penghargaan dan ganjaran terhadap kejayaan.


Mari lihat pendekatan yang digunakan oleh seorang guru dalam video ini.

Monday, December 22, 2014

Gaya Bahasa Guru Pendorong


Gaya bahasa dan kejayaan sangat berkait rapat. Orang lain suka berkawan-kawan dan merapati orang yang berjaya. Individu berjaya bercakap menggunakan bahasa positif - bahasa kejayaan.

Guru pendorong ialah guru yang mendidik anak muridnya bercakap menggunakan gaya bahasa positif. Ia bermula daripada gaya bahasa yang diucapkan oleh guru itu sendiri.


 


 
5 Gaya Bahasa Guru Pendorong

[1] Jangan gunakan gaya bahasa negatif seperti 'malas', 'nakal', 'degil', 'masalah', 'rugi', 'gagal', 'buruk', 'comot', 'pengotor', 'corot' dll.

[2] Jangan bercakap menggunakan bahasa campuran apabila mengajar anak murid. Individu yang bercakap menggunakan bahasa campuran digambarkan sebagai orang yang berfikiran kelam kabut.

[3] Bercakap dengan lancar, jelas dan sebut perkataan satu-persatu. Jangan guru dilihat seperti individu yang 'belum habis berfikir, tetapi sudah bercakap'

[4] Bercakap menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Guru akan kelihatan seperti orang pakar, sekalipun guru tidak mempunyai kepakaran dalam perkara yang diperkatakan itu.

[5] Aplikasi Teknik Nabi apabila membina skrip-skrip ucapan. Gaya bahasa Nabi adalah gaya bahasa positif.


Thursday, December 18, 2014

MENDORONG ANAK DENGAN DOA


Selain pujian, doa juga mempunyai kuasa dorongan.

Dalam situasi lazim, ibu bapa boleh mendoakan anak-anak apabila mereka mengerjakan sesuatu perkara yang baik dan betul. Contoh situasi:

 
1. Apabila anak sedang rajin mengulangkaji pelajaran

"Ya Allah, lapangkan dada anakku dan tambahkan ilmu yang berguna untuknya."


2. Apabila anak bersemangat ke sekolah

"Ya Allah, berikan kepada anakku kebijaksanaan dan menjadi pelajar yang disayangi guru-guru."

 
3. Apabila anak menutup TV apabila mendengar azan maghrib

"Ya Allah, pahala yang banyak untuk anakku yang menjaga solat."


Doa diucapkan di hadapan anak itu dan anak-anak lain secara jelas, terus disebut segera apabila melihat perkara yang baik dan betul itu.


Perkongsian daripada Ibu yang mengamalkan teknik ini.

Puan Hainey Sulaiman berkongsi...



"Saya cuba amalkan teknik ini kepada anakanda ahli syurga Aryssa Humaira dan Subhanallah kesan serta merta nampak di hadapan mata. 

Anakanda Aryssa selesai mewarnai gambar "Princess" di handphone Mummy.

Kata saya (lebih kurang begini. Mohon maaf atas penggunaan bahasa campuran)

Mummy: Wow..very nice kakak coloring (Pujian)
Mummy suka, Daddy suka, Allah suka (Impact)
If kakak rajin, nanti kakak jadi clever (Impact)

Kemudian saya angkat tangan dan berdoa, "Ya Allah, jadikan kakak anak yang solehah dan bijak."

Tiba-tiba kakak balas, "Ya Awwah (Allah), berikan Mummy sihat, mummy sihat, mummy sihat, Amin!"

Oh...sejuknya perut ibu mengandung.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Monday, October 27, 2014

Bertanya Soalan Akhlak untuk Meningkatkan Estim Diri


Mengurus Tingkah Laku Kanak-kanak Menggunakan Hukuman

Al-'Allamah Al-Kasani menjelaskan dalam Badai' as-Sanai':
"Hukuman diberikan pada tindakan jenayah, sedangkan perbuatan anak tidak dapat dianggap sebagai tindakan jenayah."
...

Kanak-kanak berumur bawah 7 tahun tidak mempunyai masalah disiplin, sekalipun mereka menunjukkan tingkah laku nakal. Justeru, tidak ada guru disiplin yang dilantik oleh mana-mana tadika.
.

Sebenarnya, banyak kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah kesalahan teknikal. Perbuatan itu tidak salah, yang salah adalah teknik semasa melakukan perbuatan itu.

[1] Bising tidak salah. Bising ketika cikgu sedang mengajar, itu salah.
[2] Main Games tidak salah. Main games tidak tentu masa, itu salah.
[3] Mengambil barang kawan tidak salah. Mengambil barang kawan tanpa izin sampai bawa balik ke rumah, itu salah.
[4] Kencing tidak salah. Kencing dalam seluar, itu salah.
.

Kesalahan teknikal tidak boleh dihukum.

Friday, August 29, 2014

Bakat Sebagai Sumber Estim



Anak-anak mempunyai potensi dan bakat tersendiri.
======

[1] Ada yang menonjol dalam kecemerlangan akademik, tetapi kurang menonjol dalam kemahiran bakat.

[2] Ada yang tidak menonjol dalam kecemerlangan akademik, tetapi menonjol dalam kemahiran bakat.

[3] Mempunyai dua potensi ini - Cemerlang akademik dan cemerlang kemahiran bakat.
.

Bakat adalah sumber estim. Estim adalah maruah atau harga diri. Anak yang mempunyai estim yang tinggi akan berasa seronok dengan dirinya.
.
Sebagai ibu bapa, cipta peluang supaya anak-anak boleh bertindak balas dengan maklumat dan pengalaman baru berkaitan bakat mereka.
.
Itu meningkatkan yakin dan percaya diri anak-anak. Mereka akan rasa suka dengan diri mereka dan mencipta kejayaan dengan apa yang ada dalam diri.
.
Soalnya, adakah ibu bapa mampu untuk menjelaskan tentang bakat anak mereka sekiranya ibu bapa sendiri kurang mahir tentang bahasa bakat?

Apakah teknik-teknik yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa untuk mendorong anak-anak mengembangkan bakat mereka?

Bagaimana ibu bapa dapat meningkatkan estim diri anak-anak yang bersumberkan bakat dan potensi sedia ada?

Friday, May 9, 2014

Prinsip dan Teknik Memberi Ganjaran


Banyak kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak adalah kesalahan teknikal. Perbuatan itu asalnya tidak salah. Tempat, waktu dan keadaan semasa perbuatan itu dilakukan yang salah.
.

Teknik kerja mereka yang tidak betul. Sebagai contoh, bising tidak salah. Bising semasa guru mengajar itu salah. Bermain games tidak salah, bermain tidak tentu masa itu yang salah.

...

Dalam amalan lazim, guru atau ibu bapa sering memberi ganjaran sosial negatif kepada pelajar yang melakukan kesalahan teknikal.

Apabila pelajar nakal melakukan aktiviti nakal, dia dikritik dan dimarah. Apabila dia menunjukkan sikap baik, tidak dipuji.
.

Bagi mendapatkan perhatian guru, maka pelajar seperti itu sengaja mencipta perangai nakal. Dia tahu dengan cara itu, dia akan sering diperhatikan.
...

Peta minda ini dihasilkan oleh seorang peserta bengkel di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Mei 2014







Friday, March 21, 2014

Teknik Memuji : Testimoni yang Mengejutkan


Ini adalah perkongsian daripada Tuan Mohd Rozmi Jinin, seorang guru pengamal Teknik Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad.




Pada hari Rabu baru-baru ini, saya terkejut dengan prestasi pelajar ini. Namanya Awang Azmawie, dan kawan-kawan sekolah biasa memanggilnya 'Along'.

Mereka yang mengenalinya terutama yang menjadi gurunya tentu faham dan maklum bagaimana prestasi pelajar ini.

Saya baru mengenalinya pada tahun 2012 dan sebagai guru kelas, serba sedikit dapat mengetahui yang Along kurang tahu membaca Al-Qur'an walaupun sudah di tahun 4.

Tahun ini Along sudah berada di tahun 5 dan masih dikategorikan golongan pelajar lemah Al-Quran. Boleh dikatakan dia tidak dapat membaca.

Setelah mengaplikasikan Teknik Nabi Muhammad beberapa bulan, hasilnya sangat mengejutkan.

Ketika gambar ini diambil, pelajar sedang menghafaz surah Al-Qari'ah.

Setiap pelajar yang sudah hafaz saya jemput tampil kehadapan untuk di tasmi' dengan berkata: "Adakah diantara kalian yang sudah hafaz surah Al-Qari'ah?"

Ramai pelajar yang angkat tangan, terutama pelajar perempuan.

Setiap kali selesai tasmi' saya akan puji dengan teknik Nabi Muhammad memuji sikap dan nyatakan impak dengan berkata: 

"Subhanallah! Bagusnya kamu sudah hafaz surah ini. Allah suka mereka yang menghafaz Al-Quran. Tahniah buat kamu."

Pelajar yang mendapat pujian tesenyum dan semakin ramai pelajar yang angkat tangan untuk ditasmi' termasuk si 'Along' ini.

Saya terkejut melihatnya mengangkat tangan dan terus memuji dengan berkata: 

"Subhanallah! Kamu pun sudah hafaz surah yang mempunyai sebelas ayat ini?"

Along menganggukkan kepala. Saya seperti bermimpi, namun saya buat seperti biasa.

Along pun memulakan bacaannya...

Along dapat membacanya dengan lancar. Mahu menangis gembira namun ditahan agar pelajar tidak perasan dan saya berkata kepadanya, 

"Boleh kamu ulang sekali lagi? Saya suka mendengar suara kamu membaca surah ini."

Along mengangguk lalu membacanya semula.

Sah, dia dapat menghafaz kesemua ayat.

Saya pun memuji menggunakan teknik Nabi Muhammad iaitu 'puji sikap yang baik dan nyatakan impak' dengan berkata, 

"Subhanallah! Saya kagum kamu dapat menghafaz kesemua ayat dan suara kamu jelas. Allah suka orang mahu menghafaz Al-Quran. Tahniah!"

Along pun duduk ke tempatnya semula sambil tersenyum lebar. Biarpun dia tidak dapat membaca Al-Quran dengan baik namun berusaha menghafaznya melalui bacaan kawannya yang sudah hafaz.

Sebelum ini Along memang kurang rajin belajar, menulis, membaca dan hadir ke sekolah.

Dia memang antara pelajar corot dalam kelas saya, namun setelah mengapliksikan "Mendorong Pelajar Corot menggunakan Teknik Nabi Muhammad" dia mahu membuat kerja dan yang mengejutkan, mahu menghafaz.

Demi Allah dan Rasul, saya sangat terkejut dan rasa sangat gembira dengan impak ini.