Thursday, December 5, 2013

"Abang, Begedil Hangit!"


Seorang rakan bertanya kepada saya...
"Ada juga suami yang tidak mahu puji isteri sebab tidak mahu hipokrit atau menipu. Contohnya tidak mahu puji masakan isteri sedap, sebab memang tidak sedap pun. Adakah berdosa kalau si suami cakap sedap padahal tidak pun. Mohon penjelasan ustazah."

Ini jawapan saya:

Dalam Teknik Nabi Muhammad (selawat sebanyak-banyaknya apabila membaca nama Nabi Muhammad selepas ini) iaitu 'Tutup Mata Pada Kesalahan, Puji Kebaikan', Nabi Muhammad pura-pura tidak nampak pada kesalahan lelaki dalam hadith '12 Malaikat'. 

Hadith Rujukan : 12 Malaikat
 
Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim. Hadith di atas diterjemahkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi
 
Lelaki itu melakukan beberapa kesalahan antaranya:

1) Datang lambat ke masjid
2) Masuk barisan sembahyang dengan termengah-mengah dan terkocoh-kocoh
3) Membaca suatu kata-kata dengan suara yang kuat hingga mengganggu orang yang sedang sembahyang
4) Tidak mahu mengaku apabila ditanya

Bagaimanapun, Nabi Muhammad tidak menyiasat, mengkritik atau memarahi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Beliau memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Dalam hal yang ditanya oleh teman saya itu, isteri melakukan kesalahan teknikal iaitu teknik masakannya tidak betul. Puji usaha isteri itu yang sanggup memasak. Walaupun hasil masakan tidak sedap atau prestasi kerjanya tidak bagus, usaha memasak itu patut dipuji. 

Tutup mata pada kesalahan, cari kebaikan untuk dipuji. Sekiranya tidak jumpa perkara yang boleh dipuji, diam-diam sahaja. Adalah lebih baik masakan itu yang masam daripada wajah isteri menjadi masam mencuka.

Insyaallah, isteri akan seronok memasak, berusaha memasak lagi dan lama-kelamaan menjadi pakar.

Nota: Hari ini saya menggoreng begedil daging korban. Walaupun kelihatan hangus, suami tetap makan dengan selera dan mengucapkan, "Terima kasih sayang kerana menyediakan makan tengah hari ini."


2 comments:

  1. Saya antara isteri yang tak pernah dengar even sekali pun suami saya puji masakan saya, not even masakan mak dia pun. Yang ada hanya komen kalau terpedas jer. Tapi kalau tak sedap tak pernah komen negatif. after almost 13 years, saya rasa memang itu perangai dia dan saya langsung tak kisah. Tapi agak2nyalah kalau one day dia puji masakan saya mungkin saya akan rasa happy setahun kut hihihi

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, saya blogwalking kat sini, jemput datang ke blog saya http://ibu2ahmad.blogspot.com. Saya follow sini n kalau sudi follow la sy balik yer... ;)

    ReplyDelete