Wednesday, April 11, 2012

Mengaplikasi Teknik Nabi Kepada Warga Emas


Pada hari Sabtu lalu, saya berpeluang mengajar kelas tajwid kaum ibu di sebuah surau di Hulu Kelang. Kebetulan tenaga pengajar tetap tidak hadir, justeru saya dijemput untuk menggantikan tempat beliau. Kali ini, anak-anak murid saya adalah golongan yang berusia emas dalam lingkungan 50 hingga 80 tahun. 

Apabila tiba di pintu masuk surau, melihat kehadiran ibu-ibu yang berjumlah hampir 30 orang, secara tiba-tiba tubuh saya seperti disuntik darah-G. Mereka sudah bersedia dengan al-Quran dan rehal masing-masing. Kemuncak darah-G itu sampai ke otak apabila saya kelihatan agak tidak keruan sedikit dalam menyusun peralatan mengajar hingga jari terkepit di rehal. Mahu membuka rehal pun sudah terkial-kial. Anda tahu apa itu darah-G? G = Gemuruh!


Bukan saya tidak biasa dengan orang tua. Tiap-tiap hari saya berinteraksi dengan individu atau kumpulan yang berstatus warga emas. Saya acapkali mengendalikan mesyuarat, usrah, diskusi dan program yang dihadiri orang yang lebih berusia. Cuma, darah-G ini muncul kerana kali ini saya bukan sahaja berbincang tetapi mengajar. Saya menjadi guru kepada orang yang seharusnya menjadi guru kepada saya. 

Itu cabaran pertama, iaitu mencabar diri untuk meng-set minda dengan gelombong-gelombang ketenangan (alfa) dan meningkatkan frekuensi semangat. Cabaran kedua ialah merangka skrip ucapan menggunakan Teknik Nabi Muhammad. Skrip ucapan tersebut harus lebih matang, sesuai dengan umur dan tahap mereka. Tersilap memuji, boleh jadi mengampu. Tersilap menegur, boleh jadi merajuk!.

Saya mulakan kelas dengan Skrip Motivasi Pencapaian Target Gaya Nabi Muhammad berdasarkan aplikasi hadith ‘Masuk Syurga’.
 Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam hadith ini, terdapat beberapa prinsip diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang harus difahami. Antaranya;
  • Nabi Muhammad saw menggunakan banyak soalan mudah supaya semua orang dapat mengangkat tangan.
  • Perkataan ‘Seseorang’ dalam hadith ini membawa maksud ‘sesiapa’, tidak spesifik kepada orang tertentu sahaja. Kerana itu, hadith ini adalah hadith mendorong sesiapa sahaja dengan menggunakan pertanyaan-pertanyaan yang mudah.

Memandangkan hadith ini adalah hadith motivasi bagi mendorong audiens supaya mahu mencapai target kejayaan peribadi, maka saya menjadikan hadith ini sebagai rujukan untuk merangka skrip motivasi di permulaan kelas. Cara motivasi ini dilakukan ialah dengan menyenaraikan perkara-perkara yang menjadi syarat kejayaan. Kemudian tanya mereka satu persatu syarat itu.

Siapakah antara ibu-ibu sekalian yang membaca al-Quran pada hari ini?,” saya bertanya. 

Hampir semua menjawab, “Saya.” 

Saya bertanya lagi: “Siapakah antara ibu-ibu sekalian yang hari ini atau mungkin dalam minggu ini membaca terjemahan al-Quran?” 

“Saya,” beberapa orang dari mereka menjawab. Ada juga yang teragak-agak mengangkat tangan.

Saya melanjutkan pertanyaan: “Siapakah antara ibu-ibu yang hari ini datang ke kelas berniat bersungguh-sungguh mahu mempelajari al-Quran?"

“Kami semualah. Makcik-makcik ini datang memang hendak belajar,” ramai yang menjawab.  

Saya bertanya lagi: “Siapakah antara ibu-ibu sekalian yang hari ini datang ke kelas, dia mentadabbur al-Quran. Contohnya sambil berjalan-jalan, ibu-ibu memerhati pokok-pokok, bunga-bunga, awan lalu mengaitkan kejadian itu dengan kebesaran Allah yang banyak diceritakan dalam al-Quran?” 

Mereka menjawab, “Eh, ada…ada..Tadi makcik jalan-jalan tengok pokok-pokok, bunga-bunga depan rumah.”

Mendengar semua itu, lantas saya berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu menjadi golongan yang sangat mencintai al-Quran. Pencinta-pencinta al-Quran akan dijanjikan Syurga oleh Allah.”

Kelihatan semua ibu tersenyum. Raut wajah mereka yang bersih berseri itu semakin indah serinya. Ada yang mengangguk-angguk kepala dan ada yang kembali membetulkan postur duduk masing-masing. Saya yakin mereka gembira. Ia menjadi suntikan semangat pada pagi hari. Mereka mendapat gelaran ‘pencinta al-Quran’ dan kesungguhan mengamalkan al-Quran pasti diganjari Syurga oleh Allah.

Kemudian saya meneruskan kata dengan mengaplikasikan teknik memuji;
“Saya kagum melihat kesungguhan ibu-ibu datang ke kelas tajwid ini. (puji kebaikan). Di tahap usia begini, ibu-ibu masih bersemangat membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. (puji kebaikan). Meskipun kita tidak mahir membaca tetapi kerana kita bersungguh-sungguh belajar dan cuba membaca, Allah akan beri ganjaran yang berlipat kali ganda. Malahan, pahala orang yang tidak mahir membaca tetapi belajar membaca lebih besar daripada orang yang sudah pandai membaca. Ibu-ibu dapat ganjaran belajar. Ibu-ibu dapat ganjaran membaca.” (impak kebaikan).

 Kelas berjalan lancar. Saya memulakan kelas dengan memberi penerangan sambil menulis di papan putih. Mereka mencatat nota dan diselangi dengan soal jawab. Slot pengajian di akhiri dengan sesi men-tasmik bacaan seorang demi seorang.

Memandangkan sesi pengajaran kali ini dipercepatkan kerana agenda lain yang sudah diatur, maka saya tidak berkesempatan membekaskan pujian kepada setiap orang. Memadailah saya membetulkan kesilapan bacaan mereka dengan teknik tidak menegur kesilapan sebaliknya terus menerangkan kaedah bacaan yang betul.

Saya tidak katakan:
a) “Salah itu makcik!”
b) “Bukan begitu bacaannya.”
c) “Itu hukum izhar, bukan hukum ihfa’.”

Sebaliknya saya terus menerangkan:
a) “Apabila berjumpa dengan kalimah ini, kita wajib membaca begini…”
b) “Cara membacanya begini……”
c)  atau saya terus sahaja menyebut teknik bacaan yang betul.

Setelah selesai sesi kelas tersebut, saya teruja kerana dilayan seperti sang bidadari dunia sekalipun saya tidak berpeluang hadir ke Konvensyen Bidadari Dunia baru-baru ini. Terasa segan pula. Apabila ada yang hendak pulang, mereka meminta izin terlebih dahulu, disalami, diciumi dan dipeluk. Ada juga yang memanggil ‘sayang’, hehe…

Mereka meluahkan perasaan betapa seronok melihat orang muda seperti saya mahu mendekati masyarakat dan berada dalam kelompok ini. Namun begitu, saya menganggap ia adalah amalan lazim dalam kelas pengajian ilmu. Para penuntut ilmu pasti akan menghormati para pendidik mereka.

Sebenarnya, sejurus daripada kelas tajwid tersebut, saya menghadiri mesyuarat bersama beberapa orang daripada kaum ibu tadi. Ketika saya masuk ke dewan aktiviti, saya melihat begitu banyak mesin jahit dan peralatan SPA. Rupanya mereka turut membuka kelas menjahit, SPA dan akan datang, khidmat refleksologi dan kelas menggunting rambut. Saya mengambil peluang untuk memuji kesungguhan mereka dengan Teknik Memuji Nabi Muhammad.
“Apabila saya masuk sahaja ke dewan ini, saya begitu kagum melihat bagaimana ibu-ibu boleh menyediakan mesin-mesin ini dan membuka pelbagai kelas kemahiran. Bukan sahaja surau yang boleh ibu-ibu geraknya aktivitinya, malah di dewan ini ibu-ibu boleh membuka kelas menjahit, kelas SPA, kelas refleksologi dan kelas menggunting rambut. Usaha-usaha sebegini yang akan menarik minat masyarakat kerana kita menyediakan perkhidmatan yang bertepatan dengan kehendak setempat,” ujar saya di awal perbincangan.
Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai ruang untuk lebih menguasai teknik ini ketika berhadapan dengan pelbagai golongan. Pengalaman pertama ini membuka peluang untuk saya membaca situasi dan karektor sasaran. Paling penting saya harus membiasakannya agar dapat menutur ucapan secara spontan dengan skrip yang lebih matang sesuai dengan golongan seperti mereka iaitu warga emas, aktivis dakwah dan penggerak masyarakat.

4 comments:

  1. Betapa teknik memuji Nabi Muhamamd boleh diaplikasikan kepada sesiapa atau di mana sahaja. Ustazah Nurhidayah telah membuktikannya.
    Cerita kali ini bukan sahaja indah bahasanya tetapi penerangan jelas dan tepat. perkongsian skrip kata-kata pujian mengikut skrip Nabi Muhammad mudah dicontohi oleh sesiapapun pembaca blog ustazah ini.
    Saya kagum dengan kesungguhan ustazah mengaplikasikan teknik Mendorong Nabi Muhammad. Kalau ibu-ibu itu memperolehi pahala dan dijanjikan Syurga, ustazah yang mengajar dan menyampaikan ilmu berkaitan Al-Quran pasti juga beroleh pahala berlipat kali ganda dan bakal penghuji syurga. Insyaallah!
    Subhanallah!Teknik Nabi Muhammad benar-benar mukjizat.

    ReplyDelete
  2. Allahu Akbar! Superb! Excellent!

    Puan benar-benar seorang yang penuh daya inisiatif.
    Puan benar-benar kreatif.
    Puan benar-benar seorang yang amat terang hati.

    Banyaknya saya belajar dari laporan puan ini.

    ReplyDelete
  3. mabruk....semoga dapat dimanfaatkan bersama....tahniah sekali lagi

    ReplyDelete