Wednesday, February 22, 2012

Teknik Memuji Gaya Rasulullah Mendorong Perubahan Sikap


Semasa sampai di sekolah semalam, saya sudah mula mencongak teknik yang sesuai agar sesi pembelajaran petang ini disudahi dengan senyuman selebar daun pisang. Saya merangka-rangka bentuk pujian kepada murid dan lonjakan self-esteem mereka apabila dihargai sedemikian rupa.

Saya turut membayangkan wajah hodoh saya andai seribu kemarahan terluah di hadapan murid atau rupa paras saya yang ala-ala Lisa Surihani, pelakon Ombak Rindu itu jika saya sentiasa gembira mengajar mereka. Sebelum melakukan proses pengajaran, saya melakukan proses berangan. Hehe…
Hari ini, ada urusan UPKK yang harus disegerakan justeru saya terlewat masuk ke kelas. Saya berbaki 20 minit sahaja untuk mengajar hafazan di kelas 5 Umar sebelum beralih ke kelas 5 Abu Bakar untuk subjek Feqah. Dalam keadaan terkejar-kejar, saya masuk ke kelas 5 Umar.
Sudah 2 bulan kelas itu ketiadaan elektrik dalam cuaca yang panas terik. Kipasnya cuma satu, jika boleh berputar, putarannya dalam keadaan tergedik-gedik. Sebab itu, saya tidak salahkan murid jika mereka tidak duduk setempat dan melompat-lompat. Seperti cacing kepanasan, tiada siapa yang boleh duduk selesa tanpa udara dingin dalam musim kemarau ini.
Sebagai guru kelas 5 Umar, saya kagum melihat kesungguhan mereka belajar dalam keadaan begitu dan saya jelmakan kekaguman tersebut dalam bentuk pujian dan ganjaran yang Allah akan beri atas sifat sabar mereka dalam menuntut ilmu. Memandangkan ia peristiwa lama, saya lupa ucapan tersebut dengan tepat tetapi lebih kurang begini:
“Ustazah suka tengok kesungguhan kamu belajar walau kelas kita panas macam ketuhar gelombang mikro. Ustazah yakin pahala kamu lebih banyak dari murid di kelas Abu Bakar dan Umar. Mereka sejuk, kita panas, susah belajar. Kalau kamu beri tumpuan betul-betul, kita akan terlupa rasa panas itu sebaliknya akan rasa sejuk sahaja dan hati ustazah pun akan menjadi sejuk.

Saya menggunakan teknik memuji gaya Rasulullah iaitu:
a) Puji kebaikan – bersungguh-sungguh belajar walau kelas panas
b) Impaknya- banyak pahala kerana sabar belajar dalam keadaan panas dan susah, tidak terasa panas kerana memberi tumpuan betul-betul dan menyejukkan hati ustazah.
Kesannya, tiada rungutan kedengaran selepas itu hingga ke hari ini. Sekali sekala Haiqal Najmie yang berbadan besar sedikit merungut. Barangkali saiz badannya yang berisi itu menyebabkan dia mudah berasa panas. Agakan saya betul kerana pernah satu hari Haiqal berkata, “Saya lain ustazah, badan saya ini besar sebab itu saya rasa panas, berpeluh-peluh.”
“Sabar…”, saya mengulang kata itu.
“Sampai bila kena bersabar ustazah, mana boleh tahan macam ini”, rungutnya lagi. Haiqal meninggi suara ke arah saya dan memek mukanya seperti seorang anak bercakap kepada ibu dalam siri drama Melayu. Skrip ucapannya juga seperti skrip drama Melayu.
Saya diam kerana tidak terfikir ucapan yang tepat untuk meredakan marah Haiqal. Diam itu lebih baik dari saya bercakap perkara yang menjatuhkan maruahnya di hadapan murid lain. Sebenarnya, saya kembalikan perkataan “sabar” itu kepada diri saya sendiri. Jika cara Rasulullah menahan sabar tidak tergambar di saat itu, pasti pipi Haiqal akan berputar 180 darjah dan tumit kasut Bonia saya melayang-layang lantas membelah angin.


Haiqal Najmie duduk di tengah bahagian hadapan. Saya pernah memujinya bahawa dia pandai membaca al-Quran dan jawi serta dia boleh berada di kelas 6 Abu Bakar tahun depan jika dia terus belajar lagi. Kesannya, dia tidak bangun-bangun dari tempat duduknya jika tidak selesai tugasan.
Huh! Kisah ini antara cabaran awal sesi persekolah tahun ini. Itu cerita lama, maka saya kembali pada awal tadi.
Selesai urusan UPKK di pejabat, saya bergegas masuk ke kelas. Saya lihat kelas macam tongkang pecah, sampah bertaburan termasuk tin air gas dan botol-botol. Tin itu sengaja dikemekkan kerana ia akan bertindak sebagai ‘bola’ dalam piala dunia di kelas semasa rehat nanti. Tiada tin akan disepak botol, tiada botol akan disepak kertas yang dipadatkan dalam bentuk bulatan.
"Siapa yang mahu tolong ustazah bersihkan kelas?", soal saya.
Tiada sahutan. Diam.

Saya bertanya lagi, "Siapa yang mahu tolong ustazah bersihkan kelas?"

"Saya ustazah!", jawab Durra Sofea tanpa teragak-agak. Durra seorang murid yang kelihatan matang pada sikap dan kesungguhan belajar. Dia sentiasa bertindak seperti seorang kakak di dalam kelas.
Ini Durra Sofea.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memuji Durra. “Haa…bagus Durra! Ustazah suka dengan sifat Durra yang secara sukarela hendak bantu ustazah bersihkan kelas kita ini. Barulah kita boleh……..”
“Ustazah, saya nak tolong juga!”, Hana Elisya mencelah sebelum saya habiskan ayat pujian itu. Saya belum sempat nyatakan kesan respon Durra tadi tetapi saya yakin Hana dan murid lain dapat mengagak kesan kebaikan itu kerana entah berapa kali saya menyebutnya sebelum ini.
“Haa..sukalah tu, sukalah tu, sukalah tu…”, kedengaran Alia, Penolong Ketua Kelas bersuara.
Barangkali dia cemburu kerana sahabat karibnya menerima pujian dan saya terlupa membekaskan pujian kepada Alia semasa dia membersihkan kelas semalam. Alia memang kuat cemburu namun sifat cemburunya itu amat positif apabila wujud jiwa persaingan untuk menyiapkan kerja awal dari rakan lain. Apabila dipuji dengan teknik motivasi Rasulullah, senyumannya jika diukur dengan pembaris, boleh menjadi selebar 2 inci. Alia memiliki mulut yang agak lebar justeru dia amat bijak bercakap dan suka bercakap-cakap.

Menurut teori penggunaan teknik Nabi, apabila seseorang melakukan kebaikan meskipun hasilnya salah kita harus memuji perbuatan tersebut dengan menyebut impaknya. Cara ini akan mendorong mereka melakukan perbuatan tersebut berulang kali. Mungkin mereka akan terlalai semula tetapi apabila diingatkan mereka akan sedar kembali dan terus mengulangi kebaikan yang sama.
a) Cari kebaikan, puji dan nyatakan kesan tindakan baik tersebut.
b) Puji secara terbuka di hadapan murid lain
Isnin minggu lepas, saya mendorong murid menjaga kebersihan menggunakan teknik memuji Nabi. Impaknya, Selasa hingga Jumaat kelas bersih tanpa disuruh-suruh. Jangankan lantai, hampir tiap-tiap hari tingkap dicucinya sekali. Isnin minggu ini saya terlupa melakukan rutin itu. Hal ini kerana apabila murid bercuti Sabtu dan Ahad, maka hari Isnin seperti dunia baru bagi murid corot kelas saya ini. Semangat mereka perlu dirangsang kembali tetapi ia sungguh berbaloi. Sekali dorongan sahaja dengan teknik yang betul, hasilnya berkali-kali.
Saya seronok dengan cara ini. Hingga ke hari ini saya tidak menyediakan ‘Jadual Bertugas Membersihkan Kelas’ seperti rutin kebiasaan guru-guru kelas. Murid-murid akan membersihkan kelas secara sukarela. Uniknya, semua murid terlibat secara bergilir-gilir setiap hari. Saya tidak pasti bagaimana mereka menyusunnya. Pada pandangan saya;
a) Anak murid saya telah diberikan kebebasan membuat keputusan dengan berunding sesama sendiri dan bertanggungjawab atas keputusan mereka. Namun, faham-faham sajalah bagaimana keadaannya kanak-kanak berunding.
b) Mereka bertindak atas faktor kesedaran tanpa paksaan dan tidak berorientasikan jadual waktu bertugas. Mereka selalu diingatkan akan impak melakukan kebaikan tersebut justeru mereka terdorong.
Yang pasti, saya masuk, kelas sudah bersih, saya puji dan mereka tersenyum gelembung-gelembung macam buih sabun ditiup lewat pelepah daun betik!


Nota: Sesi P&P ini berterusan kepada aktiviti menghafaz surah yang akan saya ceritakan dalam entri seterusnya – “Firdaus melompat-lompat macam ahli gimnastik ketika menghafaz, durra menari-nari” Kedua-duanya tamat hafazan pada sesi itu.

9 comments:

  1. Puan memiliki:

    1. Bakat bercerita yang sungguh bagus.

    2. Bakat menggambarkan watak-watak dalam kelas puan sehingga kelahitan hidup dan real.

    3. Bakat bercerita menggunakan anologi-anologi yang baru dan segar.

    4. Puan menerangkan teknik dan formula memuji yang puan gunakan. Ini memudahkan guru lain yang membaca blog puan memahami dan menggunakan teknik dan formula itu.

    5. Contoh skrip pujian yang puan cipta dan gunakan itu juga memudahkan guru lain mencontohinya.

    6. Puan juga pandai memilih aspek-aspek perangai lucu watak-watak dalam kelas puan bagi dirakamkan dalam laporan. Ini menambahkan kekuatan perwatakan mereka. Kesannya saya pun berasa sayang pula kepada watak-watak itu....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah...

      Terima kasih kepada Pn. Ainon kerana memperkenalkan bakat saya kepada diri saya sendiri. Bolehlah saya tingkatkannya agar dapat menyumbang sesuatu kepada orang lain dengan lebih berkesan lagi.

      Komentar Puan amat saya nantikan.

      Delete
  2. Entah mengapa, sekolah-sekolah agama rakyat kelihatan serupa sahaja.

    - Tiada kipas/kelas panas/kelas dhoif dan lain-lain.


    Bolehlah isteri saya gunakan cerita ini dalam pengajaran beliau pula. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah cabaran sekolah agama dalam sistem pendidikan sekarang. Jom Ubah!

      Selamat berkongsi ustaz.

      Delete
  3. Assalamualaikum Puan Norhidayah yang kreatif,

    Saya suka baca gambaran yang puan lukis tentang kelas puan...sungguh kreatif dan hidup solah-olah saya juga hadir bersama dalam kelas puan...entri-entri puan boleh dikumpulkan dan dijadikan novel satu hari nanti...tentu Puan Ainon suka untuk menerbitkannya...hehe...

    Tahniah puan yang berhati waja!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam w.b.t

      Saya memang minat menulis. Saya sedang mengumpul bahan untuk travelog dakwah. Doakan ya..

      Delete
  4. Saya kehilangan kata-kata. Bahasa yang digunakan oleh ustazah mengalahkan saya guru BM. Puitisnya bahasa sehingga mencengkam rasa. Ustazah menggunakan perbandingan yang dapat dibayangkan dengan jelas. Benar kata Pn Sifu dan De Wan, bakat bercerita ustazah memang hebat. Terpana saya seketika.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya banyak merujuk blog cikgu sebagai panduan mencari isi-isi penting. Ia amat membantu saya menulis. Semoga kita sama-sama berjaya menebar manfaat teknik ini. Selamat maju jaya!

      Delete
    2. Saya setuju dgn Pn Kahirulaniza. Pertama kali terbaca blog ini, saya terus jatuh cinta dengan keindahan bahasa yang digunakan. Seterusnya saya tertarik dengan teknik mendidik yang diceritakan. Walaupun kerjaya saya di bidang perkhidmatan pelanggan, naluri saya sebagai pendidik begitu kuat kerana saya amat menyayangi kanak-kanak sehingga bercita-cita untuk membuka tadika/nurseri. InsyaAllah, blog ini boleh dijadikan panduan.

      Delete