Friday, March 30, 2012

Kisah 'Jamal Pendek'


“Hakimi, mari baca di depan rakan-rakan kamu”, saya menjemput Hakimi membaca di hadapan rakan-rakan lain. Tadi saya ada terdengar bacaan Ustaz Penolong Doa itu. Saya jarang mendengar bacaannya, ternyata tidak selemah yang saya jangka. 

Saya berdiri memandang Hakimi yang sedang duduk dikerusinya. Dia malu-malu alah. Kepala ditundukkan, pandangan dilabuhkan ke untaian ayat-ayat doa tadi. Malunya dia, seakan saya seorang perawan cantik sedang melihatnya dengan tenungan menggoda.

“Tidak mahu ustazah, saya tidak pandai membaca”, jawab Hakimi dengan suara merengek manja.

“Masa ustazah berdiri depan Hakimi, ustazah dengar bacaan Hakimi bagus sekali. Bacaan Hakimi semakin bagus hari ini. Oleh itu, ustazah mahu rakan-rakan lain mendengar bacaan yang bagus itu. Mari ke depan”.

Hakimi terus bangkit dengan semangat mendengar ungkapan yang sakral begitu. Saya memimpin Hakimi ke hadapan kelas, memegang kedua bahunya sebagai reaksi memberi keyakinan. Seisi kelas membulatkan pandangan ke arah Hakimi.

Diam. 


Saya meneruskan kata-kata, “Baik kelas! Hakimi akan mengimami kita untuk bacaan doa yang kita belajar tadi. Hakimi akan membaca dan kamu semua mengaminkan doanya.”

“Jamal, Jamal….”. Terdengar perlahan seorang murid menuturkan kata itu.

“Ustazah, Rashid ejek nama atuk saya”, adu Hakimi. Suaranya sebak, macam unta tercekik kurma.

Saya mula memujuk Hakimi. Pujukan itu disodor oleh rasa bimbang sekiranya wujud pula adegan dramatik yang boleh mengganggu sesi P&P nanti. Walaupun ustazah sentimental orangnya, tetapi ustazah tiada kemahiran memujuk. Kemahiran merajuk itu memang sukar untuk di sangkal.

“Apa sebab Hakimi rasa tidak suka dengan nama “Jamal” itu? Tidakkah “Jamal” itu membawa maksud cantik?. Ustazah suka kalau semua orang panggil atuk ustazah cantik,” saya merawat hati Hakimi. Entah mengapa atuk saya turut terlibat dalam konstelasi memujuk Hakimi.

Saya mengumbar semula akan teknik Nabi. Nabi tidak menyiasat punca dengan bertanya “Mengapa” tetapi beliau menggantikan dengan ungkapan. “Apakah” dan “Tidakkah”. 

Saya selalu mengulang-ulang soal kepada diri sendiri dengan menggunakan dua ayat ini, “Mengapa kamu buat begini?” dan “Apakah sebab kamu buat begini”. Ternyata ayat pertama itu lebih bersifat menyalahkan dan berbentuk intonasi menuduh walaupun kedua-dua adalah ayat bertanya punca. 

“Tapi dia ejek atuk saya ‘Jamal Pendek’!”, jawab Hakimi.

"Eh, bukan aku sahaja tau, dia ni...dia ni.....dia ni pun sama", babak tuduh menuduh bermula.

Intonasi suara Hakimi mula meronta. Terlihat kolam air di matanya, menanti masa untuk berderaian seperti air hujan jatuh bercucuran dari atap rumah.

Rashid. Anak murid kail sejengkal itu memang suka mengusik hati rakan dengan jalur ejekan berwarna hitam dan putih. Jarang sekali usikannya dicorak dengan warna pelangi kerana warna pelangi itu selalu sahaja menghiburkan. Usikannya pasti membuat rakan sekelas mula masuk ke gelanggang tomoi, mahu bergaduh. 

Saya sahaja menganggap ia sekadar usikan, bukan ejekan. Yang akan kelihatan cuma wajah Rashid yang selamba, tanpa serba salah malah tersengih-sengih. Saingan gaduhnya mulalah menjelir lidah seperti unta kehausan di padang pasir. 

Akhirnya, Hakimi menangis. Saya terpaksa akur untuk mencongak ayat yang sesuai bagi menamatkan drama yang tiada pengarahnya ini. Paling penting, Hakimi berhenti menangis, Rashid tidak dimalukan dan seisi kelas beroleh pengajaran hari ini. Sepandai-pandai tupai melompat, tupai itu akan berfikir juga mahu terus melompat atau tidak. Jika tersilap teknik melompat, pasti dia terjatuh. Itu namanya "sepandai-pandai tupai."

Saya bersuara, “Apakah sifat seorang sahabat yang baik? Tidakkah apabila kita suka menyakiti sahabat-sahabat, kita bukan seorang sahabat yang baik. Tetapi kadang-kadang kita secara tidak sengaja akan menyakiti hati sahabat kita. Maka, sahabat yang baik adalah apabila dia menyakiti sahabatnya, dia akan menyedari dan meminta maaf.”

Rashid dan beberapa rakan murid saling berpandangan, mulai rasa serba salah dan tidak senang duduk. Rakan yang tidak bersalah memandang rakan yang bersalah. Rakan yang bersalah memandang rakan lain yang turut bersalah.

Saya melanjutkan ucapan kepada seluruh murid. “Sesiapa yang mula-mula meminta maaf, maka dia adalah orang yang paling berani.”

Tanpa disuruh-suruh, Rashid bingkas bangun dan berlari-lari perlahan ke arah Hakimi. Cepat dicapai tangan Hakimi dan digenggam erat tangan sahabat itu yang tadi terluka dengan ejekan "Jamal Pendek". Rakan-rakan lain terpanar melihat aksi spontan itu. Saya turut terkejut, ia berlaku begitu pantas hampir di hadapan saya berdiri.

“Aku minta maaf Hakimi sebab ejek kau tadi,” ujar Rashid.

Muka Hakimi kembali berseri. Saya lihat gelembung-gelembung senyumannya. 

“Ustazah kagum melihat tindak balas Rashid tadi. Rashid telah membuat dua kebaikan. Pertama, mengaku kesalahan dan kedua menjadi orang pertama yang meminta maaf. Inilah ciri-ciri orang yang berani,” saya memuji Rashid.

"Ceh, berani tu...berani konon...", beberapa rakan murid sambung memuji dengan disulam sedikit rasa cemburu.

Seisi kelas kembali ceria. Terpamer susunan gigi putih di sebalik raut wajah Rashid yang hitam manis. Kali pertama dalam sejarah saya menjadi guru, seorang murid yang bersalah digelar 'pemberani'.


9 comments:

  1. Hehe. Jamal itu maksudnya unta,Jamil itu maksudnya cantik. Saya tersalah memaksudkan perkataan. Tapi memandangkan itu yang saya tuturkan pada murid, maka itulah yang saya tulis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ustazah.. Jamal memang unta kan.. Tapi kalau Jamaal.. Maknanya kecantikan! So, ok lah :)

      Saya suka cerpen ustazah ini. Gaya penulisan yang menarik. Seronok membacanya, ditambah dengan pengajaran yang tersirat di dalmnya. Syabas!

      Delete
  2. Mutu cerpen puan ini memang tinggi, layak memenangi hadiah!

    Bahasa-bahasa metaforanya segar dan sangat visual.

    Struktur dan perkembangan plotnya lancar dan laju.

    Mesejnya jelas. Endingnya sangat positif, memberikan kepuasan membaca.

    Saya beri 30 markah. (Dalam sistem pemarkahan Nabi Muhammad 30 adalah markah penuh.)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya beri puan Ainon 30 markah kerana komen ini! heheehee..
      Saya suka cerpen ini.. komen ini.. dan masyarakat yang semakin kembali kepada teknik mengajar Rasulullah s.a.w.

      Delete
  3. Mula-mula saya macam malas nak baca sebab macam panjang cerpen ni, tetapi bila saya mula membaca baris yang pertama mata saya seakan tidak mahu berhenti untuk membaca kata demi kata sehinggalah saya sampai ke kata-kata yang terakhir cerpen ini. Senyum seorang diri dan kagum cara uztazah mendidik anak murid... Kalau ada 1000 orang cikgu dan ustazah macam ni di Malaysia InsyaAllah makin maju pendidikan Malaysia ni...

    ReplyDelete
  4. as salam ustazah,

    saya suka sangat dengan bahasa yang digunakan dan pendekatan yang diaplikasikan.. sangat menarik dan akan saya praktikkan dalam medidik anak2 saya.. syukran... alhamdulillah...

    mohon link blog ustazah ye...

    ReplyDelete
  5. menangis sy baca cerpen ni..huhuu

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum ustazah.

    Jamal = unta
    Jamaal = kecantikan
    Jamiil = cantik.

    Tak salah pun yg ustazah bagitahu murid- murid tu secara umumnya, yang diragui hanya dari segi ejaan dan ya, sebutan. Artikel perkongsian yang baik, hari ni saya dapat belajar bagaimana memanipulasi kata- kata secara positif dan menangani situasi supaya menjadi win-win situation secara bijak. Alhamdulillah (:

    ReplyDelete
  7. Bagaimana jika anak saya ingin menghadiri klass ustazah, dan berapa bayarannya. Tapi anak saya pra sekolah sentul 1

    ReplyDelete