Thursday, March 1, 2012

Murid Yang Sungguh Berbekas di Hati Saya



Saya ada seorang murid, Zikry namanya. Dia selalu sahaja tidak memakai songkok sepanjang tahun lepas, sebab songkok lamanya sudah lusuh dan bersaiz kecil. Bajunya lusuh sekali. Saya menjadi guru kelasnya pada darjah 4 dan tahun ini di darjah 5. Maka, saya amat mengetahui perkembangannya dalam tempoh dua tahun ini.

Macam-macam cara saya gunakan untuk pastikan dia memakai songkok. Saya tidak mahu dia didenda. Tiada guru yang tidak sayangkan pelajarnya, cuma cara guru menterjemahkan sikap dalam membentuk anak didiknya, itu yang berbeza. Saya cubit, marah, bawa ke guru disiplin, denda berdiri tengah panas kerana kesalahan tidak memakai songkok.

Sehinggalah pada minggu lalu saya menggunakan teknik memuji gaya Nabi Muhammad. Saya panggil Zikry, saya senyum dan lembut sekali saya berkata:

"Ustazah kagum Zikry sudah rajin belajar, tulisan Zikry cantik, Zikry beri tumpuan dan bersungguh-sungguh. Ustazah akan bertambah kagum kalau Zikry memakai songkok. Zikry bukan sahaja nampak pandai tapi semakin kemas dan hensem."

Zikry tersipu-sipu dipuji begitu. Saya ulang pujian itu berkali-kali dengan ayat yang hampir sama. Biar Zikry ingat hingga pulang ke rumah nanti. Kalau boleh, biar ucapan ini menjadi ingatan sampai bila-bila. Hingga satu saat ketika saya sudah tua, Zikry akan ingat inilah gurunya yang menegur dengan penuh kasih-sayang.

Keesokan harinya Zikry memakai songkok baru. Kebetulan hari itu ialah hari Jumaat, hari perhimpunan. Ketua Guru memanggil murid yang melakukan kesalahan berdiri di hadapan murid lain. Zikry terselamat.

Segera saya menemui Zikry, "Beruntung Zikry hari ini kerana akur kepada kata ustazah semalam." Zikry tersenyum pisang. Anda bayangkan bentuk pisang, begitulah senyumannya. Senyuman yang tidak berbentuk pisang adalah senyuman getir.

Sehingga hari ini saya memberi masa untuk Zikry memotong rambutnya. Dia perlu tunggu cuti sekolah sebab pengasuhnya yang akan memotong rambutnya secara percuma. Syukur saya bertemu dengan teknik Nabi ini. Apabila terkenang tindakan saya dahulu, saya amat kesal sekali.

Hari ini Zikry tidak hadir ke sekolah. Dia mengikuti aktiviti ko-kurikulum di sekolah kebangsaan. Ketidakhadirannya amat saya rasai. Dia murid yang paling berbekas dihati saya. Untuk kali ini saya bertanya, "Mana Zikry, tidak datang kah hari ini?".

Jika anda yang membaca catatan ini adalah ibu atau bapa Zikry, terus terang saya katakan bahawa "anak tuan adalah murid yang saya amat sayangi."

Ya, niat dan usaha itu buah keberkatan. Rasulullah kekasih Allah, apa yang lahir daripada beliau dipimpin wahyu. Selamat mengajar dengan Teknik Mendorong Gaya Rasulullah.


4 comments:

  1. Sellaunya budak yang nakal yang tidak datang, cikgu tidak kisah. Namun apabila ustazah mengaplikasi teknik nabi mendorong pelajar dan pelajar pula terdorong untuk belajar, yang nakal sudah berubah dan apabila dia tidak hadir, ustazah pula yang terasa. Indahnya perasaan menyayangi pelajar! Indah lagi apabila terasa diri disayangi pelajar.
    Ustazah , beritahu Zikry akan ustazah 'kehilangan'nya semasa dia tidak ada. Pasti hatinya berbunga-bunga. Saya pernah berkata demikian kepada salah seorang pelajar dan dia sentiasa datang dan sentiasa menunjukkan dirinya kepada saya. Hehehe!

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum...

    Syukur rasanya bila terjumpa blog ustazah...byk ilmu boleh belajar..teknik ni boleh digunapakai utk anak2 juga kan ;) syukrann....

    ReplyDelete
  3. Akak, tahniah ! kita semua belajar dr kesilpan dan belajar yg baru.. saya suka 2 ... :O

    ReplyDelete
  4. Thank u for sharing, saya sangat suka! Inilah yang saya cari2 selama ini :)

    ReplyDelete