“Ustazah, hari ini tak mahu belajar, kami mahu bersihkan kelas”, Luqman, Natasha, Alia dan beberapa murid lain mengerumun saya yang baru berdiri di muka pintu kelas 5 Umar.
Selalunya begitulah tabiat murid-murid setiap kali saya masuk ke kelas. Belum sempat menghela nafas yang tercungap-cungap mengejar waktu, sudah dituju dengan pelbagai bau badan. Hehe…
Belum habis beri salam dan berdoa, mereka sudah mula mengerumun dengan terjahan yang beragam. “Ustazah, mahu bayar duit yuran”, “Ustazah, ini duit pergi Cameron Highland”, “Ustazah, duit buku UPKK RM 21 kan?”, “Ustazah esok saya tidak datang, ada bola sepak”, “Ustazah…..,ustazah,……dan macam-macam ustazah lagi”.
“Ustazah, ustazah cantiklah hari ini.” Ini ucapan pada awal waktu yang paling saya suka sekali. Tidak perlu tunggu beri salam dan baca doa, saya seronok menerimanya. Saya akan tersenyum pisang, senyum melengkung macam bentuk pisang itu. Kita yang sudah dewasa ini pasti suka apabila penampilan kita dipuji, inikan pula anak-anak kecil yang sejuta kali lebih gembira apabila kebaikannya dipuji. Puji kebaikannya, bukan orangnya mengikut Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad.
“Woi, berdiri dulu la..beri salam!”, suara Rahizan, Guru Penolong Disiplin menggemakan kelas. Huh! Mujur Rahizan datang hari ini. Ustazah boleh simpan suara. Selain kuat dan nyaring, suaranya ada nilai komersil juga. Sedap mendengar Rahizan membaca al-Quran.
Selesai perhimpunan petang tadi, terdengar lagi suaranya menegur rakan sekelas yang masih bermain-main di tepi longkang masjid. “Woi, masuk masjid la, solat Asar!”, dari jarak 60m Rahizan menjerit, Saiful Amri lari lintang-pukang sambil memegang kasutnya masuk ke dalam masjid.
Itu sebahagian daripada tugas Rahizan, Guru Penolong Disiplin iaitu memastikan rakan murid mematuhi disiplin kelas. Luqman, Guru Penolong Ucapan akan menyambung tugas mengetuai ucapan salam kepada guru. Justeru, saya perhatikan Luqman adalah murid yang paling bersedia setiap kali saya keluar masuk kelas. Setelah salam berjawab, Nurhakimi sebagai Guru Penolong Doa akan mula memberi arahan, “Semua tadah tangan untuk membaca doa, bismillah…….”. Murid lain menyambung baca. Semalam tanpa disuruh, Hakimi berdiri di hadapan kelas membimbing bacaan doa.
Episod berkaitan Guru Penolong, cara lantikan dibuat dan kisah-kisah manis di sebaliknya akan saya ceritakan kemudian. Saya mahu bercerita aktiviti yang telah berlaku pada hari Jumaat, hari sebelum bermula cuti pertengahan penggal ini. Awal tadi, mereka sudah minta untuk tidak diadakan sesi P&P hari ini. Sekumpulan murid begitu ghairah mahu membersihkan kelas. Elektrik sudah dibaikpulih, bilangan kipas sudah bertambah dan putarannya tidak lagi tergedik-gedik seperti dulu.
Semalam, sewaktu merasmikan kipas baru, habuknya terjatuh atas baju Haiqal Najmie yang pembersih itu. Agakan saya, barangkali itu alasan mereka untuk membersihkan kelas hari ini. Ikutkan kemahuan, mereka hendak basuh dan gosok lantai kelas sekali. Ada yang memberi cadangan agar semua dapat hadir ke sekolah untuk aktiviti gotong-royong semasa cuti sekolah nanti. Wah! Mereka sudah sayangkan kelas mereka.
“Baik, kita tidak akan belajar hari ini tetapi kita akan buat aktiviti. Selepas rehat baru kita bersihkan kelas”, saya bersetuju.
“Hoooraayyy!”, mereka bersorak tanda gembira.
Sebenarnya, saya sudah siap sedia dengan peralatan aktiviti. Saya dapat menjangkakan murid-murid yang sudah diselimuti ‘mood’ cuti tidak gemar mengikut rutin pembelajaran seperti format biasa. Namun begitu, mempersetujui cadangan mereka tidak bermaksud tiada sesi pembelajaran hari ini. Saya cuma mengubah kaedah mengajar dan belajar daripada bercakap-cakap kepada sesuatu yang menarik minat mereka.
Setelah kumpulan selesai dibentuk, saya memulakan sesi, “Hari ini kita akan menyiapkan peta minda untuk ditampal pada papan kenyataan. Ustazah bagi pilihan kepada setiap orang untuk pilih topik yang kita sudah belajar. Kita akan hias kelas dengan hasil kerja semua. Selepas itu, ustazah akan buat sesi bergambar di tapak perhimpunan. Masing-masing akan pegang hasil kerja masing-masing.”
“Berapa banyak masing-masing da….”, Natasha and ‘the gang’ menyeloroh. Yang lain turut tertawa.
Kumpulan Sirah dan Luqman lebih selesa dengan dunianya yang tersendiri
Eh, ada murid corot baru masukkah?
Eh, ada murid corot baru masukkah?
Firdaus dan Luqman membersihkan kipas. Luqman memang suka bersihkan kipas sejak darjah 4 lagi. Harap dia anak yang rajin bersihkan kipas di rumah juga.
Lepas penat bekerja, mereka buka warong kopi. Hakimi dan Aiman Haiqal sedang menebar roti canai! Ustazah order dua..
Inilah kelasku...angkasaraya yang dihuni oleh burung-burung yang bebas berterbangan..
Tahniah ustazah! Suasana pembelajaran yang ceria. Terasa mahu mengulangi zaman sekolah rendah!
ReplyDeleteLaporan puan kali ini menerangkan dengan detail bagaimana guru-guru penolong dalam kelas puan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
ReplyDeletePenerangan detail itu memberi keyakinan kepada guru-guru pembaca blog puan ini supaya mereka juga melantik guru-guru penolong dalam kelas mereka.
Jawatan guru penolong memang sangat bagus bagi menaikkan self-esteem murid-murid kelas corot yang sebelumnya banyak dinasihati, ditegur, dimarahi, dikritik, malah diancam....
Gambar-gambar pelajar lelaki menjalankan kerja-kerja mencuci dan membersihkan kelas juga sangat meyakinkan bahawa murid-murid itu dapat diberikan self-empowerment!
Saya juga pernah bila masuk2 kelas , pelajar berkata ' muallimah, taknak belajar hari ini. Penatla !! '. Kita yang memang masuk kelas untuk mengajar mereka ni, memang gelora juga dalam hati. Kan memang tugas kamu datang sek untuk belajar, dalam hati ja cakapnya. Tapi kita pun faham, mereka dah full agaknya, masa awal2 saya akak biarkan mereka dalam 5 minit. Kemudian sambung belajar. Bila start tu saya suka guna " Jom, kita belajar." (yang pernah dikongsikan oleh rakan FB) dan " kita tunggu kaean2 kita bersedia dulu. " . Alhamdulillah , mereka pun boleh mula belajar dengan tenang dan berseronok ...
ReplyDeleteSemoga akak terus berjaya !! :)