Friday, May 11, 2012

Tidak Menegur Kesalahan, Hanya Terangkan Peraturan


Beberapa orang murid dalam kelas saya mempunyai tabiat yang sukar diubah. Tabiat tersebut bukan sahaja menyentuh soal akhlak, malah melanggar peraturan sekolah. Setiap hari, ada 3 hingga 5 orang murid akan makan di dalam kelas meskipun bunyi loceng menandakan waktu rehat tamat sudah 10 minit berlalu.

Waktu rehat tamat jam 4.20 petang. Sesi P&P selepas rehat dimulakan dengan bacaan doa selepas makan dan doa belajar.

Ketika murid-murid lain sedang membaca doa, saya memerhatikan 3 orang murid sedang curi-curi makan. Tangan kanan menyuap makanan ke dalam mulut, manakala tangan kiri menadah tangan untuk membaca doa. Mereka turut membaca doa selepas makan tetapi masih mengunyah makanan, hingga ada antara sisa makanan yang tersembul keluar dari mulut. Gelagat tersebut membuatkan perasaan saya bercampur-baur antara marah dan geli hati.

Dalam hal ini, mereka melakukan 3 kesalahan:
  1. Makan di dalam kelas selepas tamat waktu rehat dan P&P sudah bermula.
  2. Membaca doa adalah peraturan dalam kelas. Namun begitu, mereka tidak  bersungguh-sungguh melaksanakan peraturan tersebut.
  3. Makan dengan gelojoh dan sambil berdiri. Mereka tidak memenuhi adab-adab makan dan berdoa.
Kesalahan tersebut  juga menyebabkan kelas menjadi kotor dan dipenuhi sisa makanan yang jatuh ke lantai.

Pada mulanya, saya merenung mereka dengan pandangan yang tajam, namun hampa, panahan mata saya hanya menembusi dinding, tidak menusuk ke dalam hati murid-murid itu.

Mereka bertindak balas seperti orang yang tidak bersalah, tersengih-sengih menampakkan gigi kapak yang tersusun rapi sambil menunjukkan muka bernilai ’20 sen’.

Akhirnya, saya cuba mengaplikasikan 'teknik tidak menegur kesalahan, hanya menerangkan peraturan'. Berdasarkan hadith ‘Baju Nipis Asma’, Rasulullah terus menerangkan peraturan berpakaian  yang wajib diikuti wanita yang sudah baligh. Rasulullah tidak menegur, memarahi ataupun mengkritik Asma’.


Hadith rujukan: 'Baju Nipis Asma'
Asmah binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asmah memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. - catatan ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Abu Dawud.

“Untuk makluman semua murid, waktu rehat tamat jam 4.20 petang. Ketika loceng sudah berbunyi, kamu wajib berada di dalam kelas dan bersedia untuk belajar. Kamu dibenarkan makan di dalam kelas pada waktu rehat, bukan waktu belajar.” Saya menerangkan peraturan tersebut dengan jelas.

“Ustazah, kami rehat lambat tadi, tidak sempat menghabiskan makanan,” rungut salah seorang daripada  mereka. Saya turut bersimpati. Cara mereka makan seperti peserta pertandingan ‘Siapa Makan Paling Cepat’ dalam acara sukaneka.

“Kalau begitu, ustazah izinkan kamu makan di luar kelas. Habiskan makanan kamu dan segera masuk ke dalam kelas. Makan di dalam kelas akan menyebabkan kelas kita menjadi kotor. Apakah kamu suka, sekiranya kamu yang membersihkan kelas hari ini, tetapi murid lain pula yang mengotorkannya?” jawab saya sebelum menyoal kembali.

“Tidak! Tak suka, tak suka, tak suka,” jawab beberapa orang murid sambil meniru aksi Upin dan Ipin bercakap.

Setelah mendengar penerangan itu, murid-murid yang makan tadi segera keluar, menyelesaikan makan dan kemudian masuk ke dalam kelas semula. Riak muka mereka kelihatan tenang dan gembira.

Selepas itu, mereka secara aktif terlibat dalam aktiviti kelas. Sekiranya saya marah, mungkin ia akan menggangu mood pelajaran hari itu. Apa yang saya perhatikan, mereka mematuhi peraturan tersebut pada hari-hari berikutnya.

Mereka boleh belajar dengan aktif kerana tidak lapar dan saya juga tidak bertindak seperti ‘guru lapar’ sehingga ‘memakan’ anak didik saya.

3 comments:

  1. syukran jazilan atasperkongsianmenarik...

    ReplyDelete
  2. As Salam, i am currently conducting a survey about mosque for my master thesis. it would be a big help if u could help me to answer the survey. Thanks in advance.
    https://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dGhMa19JeDlpZ04xajZTVnROYVl2cWc6MQ#gid=0

    ReplyDelete
  3. terima kasih Ustazah atas perkongsian, saya mengalami masalah yang sama, saya baru sahaja belajar teknik menerangkan peraturan ini, tidak sabar untuk mengaplikasikannya, sudah dua minggu berturut-turut tidak tahu hendak dilakukan kepada pelajar yang makan di dalam kelas, hanya lakukan tutup mata pada kesalahan... ustazah doakan saya ya

    ReplyDelete