Wednesday, February 22, 2012

Simbahan Semangat


Kebetulan nama-nama kelas di sekolah saya sama seperti di sekolah Ustazah Khadijah iaitu pengkelasan berdasarkan nama-nama khalifah – Abu Bakar, Umar & Usman. Terdapat 3 buah kelas untuk murid-murid yang mengambil peperiksaan UPKK tahun ini, dimulakan dengan kelas pintar 5 Abu Bakar. Kemudian, ia diikuti dengan kelas 5 Umar dan 5 Usman yang saya kira memiliki tahap kecerdasan (corot-akademik dan corot-akhlak) yang hampir sama.


Saya guru kelas 5 Umar, 80 peratus masa saya bersama mereka. Saya tidak mengekang sikap mereka untuk berkreativiti yang penting mereka seronok belajar.


Lihatlah nota feqah Firdaus. Dia hanya memperoleh markah bawah 30% pada peperiksaan akhir tahun lepas. Melihat notanya, saya meleret senyum, mahu ketawa pun ada.
5 Umar dan 5 Usman ibarat cili api dalam menu masak lemak Negeri Sembilan. Sekalipun pedas, tetapi amat bernilai dalam menyedapkan masakan itu. Tanpa cili api, tidak enak masak lemak. Mereka juga macam pelangi, berwarna-warni dan menghiburkan hati. Apabila mula sesi persekolahan, geram dan marah tinggal di luar pagar sekolah, sabar bawa masuk ke dalam kelas. Saya seronok mengajar walau penatnya berpuluh-puluh kilo, lebih berat daripada berat saya.
Teringat akan ucapan Ustaz Azizul pada perhimpunan 2 minggu lepas.
“Kami mengasingkan kamu bukan bermaksud kami mengasingkan kepandaian kamu. Tidak bermaksud murid yang belajar di kelas Abu Bakar itu pandai dan yang belajar di kelas Umar dan Usman itu tidak pandai dan tidak boleh pandai. Sifirnya mudah, siapa yang bersungguh-sungguh mengejar ilmu, dia akan berada di hadapan dan siapa yang tidak mahu mengejar ilmu dia akan ketinggalan.”

Saya terlebih dahulu terdorong dengan simbahan semangat Ustaz Azizul itu. Dengan mengaplikasikan teknik mendidik yang betul, saya yakin semua murid saya boleh berjaya. Ya, berfikir positif dan memberi harapan kepada mereka setinggi Gunung Kinabalu, malah lebih tinggi dari itu.

2 comments:

  1. Puan,

    Foto buku nota Firdaus itu sangat bagus sebab:

    1. Firdaus akan bangga apabila puan ambil foto bukunya. Ini akan mendorong beliau buat nota lebih cantik lain kali.

    2. Bagi pembaca macam saya, saya boleh nampak kualiti kerja Firdaus. Saya juga mula kenal perwatakan beliau.

    3. Pada masa akan daang mudah bagi saya mengikuti perkembangan kualiti kerja Firdaus selepas menerima pujian cara Nabi.

    ReplyDelete