Sunday, February 26, 2012

Situasi 1: Tidak Menegur Kesalahan Murid

Entri kali ini, saya akan berkongsi cara saya mengaplikasikan Teknik Nabi Muhammad Tidak Menegur Kesalahan ketika menyikapi beberapa tindakan murid 5 Umar semasa berlangsung sesi P&P minggu lepas. Cuma penulisan kali ini tidak berbentuk cerpen sastera remaja. Masa mencemburui saya. Sekalipun saya ‘memuji masa’ dengan menggunakan teknik mendorong, masa tetap meninggalkan saya.

Situasi 1: Tidak Menegur Kesalahan Durra Sofea
Seperti biasa, ketika masuk ke dalam kelas, saya suka berdiri di muka pintu dahulu bagi melihat keadaan kelas. Saya akan mencari kebaikan murid-murid yang boleh dipuji. Sejak mengaplikasi Teknik Memuji Gaya Rasulullah, saya melihat keadaan kelas sentiasa bersih. Murid-murid semakin termotivasi membersihkan kelas tanpa disuruh dan secara sukarela kerana tiada jadual kebersihan saya sediakan.
Mereka semakin terdorong apabila saya memuji tindakan Durra (pada asalnya merupakan gangguan) yang secara spontan bangun dari kerusi, mencapai penyapu dan membersihkan ruang sekitarnya (ruang hadapan yang hampir dengan saya berdiri). Ketika itu saya sedang memberi penerangan dan murid lain sedang tekun mendengar. Keadaan kelas senyap.
Bagi senario kebiasaan, tindakan Durra itu boleh mengundang kemarahan atau tegahan daripada seorang guru kerana wujudnya gangguan ketika mengajar. Namun begitu, saya mengambil langkah dengan memuji tindakannya secara terbuka di hadapan murid lain.
“Inilah yang membuatkan ustazah semakin sayang dengan Durra. Dalam keadaan sedang belajar pun Durra tetap menjaga kebersihan kelas kita. Sikap Durra ini boleh menjadikan kelas kita sentiasa bersih sepanjang masa”, saya memuji sikap Durra. Pujian saya itu membuatkan Durra yang sedang menyapu tersengih panjang.

“Takde ustazah…tempat ini kotor, tengok ini banyak sampah,” tukas Durra. Tutur katanya menunjukkan bahawa dia tersedar bahawa saya tidak selesa dengan tindakannya. Namun begitu saya tidak menegur bahawa ia suatu gangguan tetapi memuji tindakannya.

“Huiioooo…ustazah sayang…!!”, murid lain sambung memuji.

Saya pasti kesan teknik yang saya gunakan tadi telah menjadikan Durra semakin rajin membersihkan kelas. Setiap hari apabila saya bertanya “Siapakah yang bersihkan kelas hari ini?”, Durra tidak terkecuali mengangkat tangan. Dia juga tidak pernah mendatangkan gangguan ketika saya mengajar malah memberi tumpuan yang lebih baik berbanding dahulu.
Sebelum ini, dia gemar bercakap dan bersembang ketika saya mengajar di hadapan. Apabila saya memuji sikapnya yang gemar bercakap-cakap tetapi boleh menjawab soalan, dia langsung memberi tumpuan, suaranya jarang terdengar. Apabila saya memujinya rajin menjaga kebersihan kelas, terlebih rajin pula jadinya.
Saya tidak menegur tindakannya dengan cara begini,
a) “Durra, kamu tidak tengok ustazah sedang mengajar ini, yang kamu tiba-tiba bangun tu kenapa?”
b) “Hei, kalau ya pun rajin hendak menyapu kelas, tunggulah ustazah habis terang di depan ini!.”
c) “Durra, letak penyapu itu dan duduk sekarang. Tunggu ustazah habis bercakap dulu.”
d) “Sampai mana tadi ustazah terangkan?. Tengok! Kan ustazah sudah lupa”
Saya percaya ucapan di atas akan membuatkan saya ‘putus cinta’ dengan insan bernama Durra Sofea. Anda tentu dapat mencongak kesannya. Lagipun, menyapu kelas tanpa arahan ketika guru sedang mengajar di hadapan bukan perkara berdosa.
Dalam situasi di atas, Durra telah melakukan kerja tambahan, yakni membersihkan kelas. Tindakan itu juga adalah ciptaanya sendiri. Meskipun dia melakukan kesalahan dengan mendatangkan gangguan secara tiba-tiba hingga saya dan rakan murid kembali hilang tumpuan, namun saya tidak memarahinya. Sebaliknya saya memuji kerja tambahan tersebut dengan berkata, "Ustazah sayang dengan Durra kerana suka menjaga kebersihan walau sedang belajar. Pasti kelas kita akan bersih sepanjang masa.” (kesimpulan ucapan saya di atas)
Prinsip-prinsip dorongan kerja tambahan yang terkandung dalam peristiwa di atas:

1. Puji hasil kerja tambahan yang dilakukan secara sukarela.
2. Berikan pujian itu dengan segera.
3. Sebut pujian itu secara terbuka di hadapan orang-orang lain.
Ada dua situasi yang lebih menarik untuk dikongsikan. Tunggu entri seterusnya ya! Saya akan sertakan analisisnya sekali.
Rujukan analisis hadith boleh dicari (di sini)

Saturday, February 25, 2012

Paling Awal Tamat Hafazan Dengan Cara Menari-nari dan Melompat-lompat


“Banyak persoalan yang berada di minda”
“Banyak tanda tanya dan juga kata kerja….”


Dua rangkap lagu ‘Cinta Muka Buku’ nyanyian artis belasan tahun yang sedang meningkat naik, Najwa Latif berlegar di minda semasa mempersiap bahan mengajar petang semalam. Dalam mesyuarat bersama guru-guru Tahun 5 dan 6, saya telah dilantik sebagai Penyelaras UPKK. Lantikan ini memerlukan saya menyediakan Kertas Kerja Bengkel Subjek, merancang program pembangunan diri pelajar di samping menyelaras kerja berkaitan peperiksaan penting UPKK tahun ini.

Lagu Najwa Latif begitu serasi dengan tsunami jiwa yang sedang menggulung-gulung dengan pelbagai persoalan, tanda tanya dan kata kerja saat ini. Nah! Satu lagi amanah sudah sedia untuk dipukul rata dengan tugasan yang lain. Saya memang meminati Najwa Latif, petikan gitar dan tudung kelambunya. Beliau artis remaja yang tampil sopan sederhana. Namun, saya tidak berminat untuk banyak bercerita tentang Najwa Latif. Dia bukan anak murid saya. Dia juga bukan pelajar kelas corot. Kita pindahkan Najwa Latif seketika di sisi kanan blog ini.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan teman-teman yang budiman tentang episod kecil yang berlaku di dalam kelas saya rentetan daripada episod sebelum ini. Selepas berakhirnya babak kecemburuan Alia , Durra Sofea, dan Hana Elisya (ceh! Macam nama pelakon filem) semasa episod membersihkan kelas, saya menyambung sesi men-tasmik hafazan surah al-Inshiqaq.

“Baik, ada lagi 10 minit. Hari ini ustazah mahu cari siapa antara kamu yang paling pantas menghafaz. Duduk tempat masing-masing, ustazah akan semak bacaan dari meja ke meja.”

Saya tidak mahu mereka berkerumun di meja saya kerana takut hilang tumpuan mengawal murid lain. Lagipun dengan cara ini, semua murid akan disemak hafazan dan saya boleh meninggalkan pujian seorang demi seorang. Apabila saya memuji Amira, maka Afiqa dan Bashirah iaitu teman duduk bersebelahan akan mendengar pujian tersebut justeru mereka cemburu dan ingin bersaing antara satu sama lain.

Begitu juga Firdaus Hakimi dan Aiman Haiqal, teman rapat dan duduk bersebelahan. Semangat mereka menamatkan hafazan seperti persaingan merebut murid perempuan yang paling cantik di sekolah itu.

Ada banyak riwayat mengisahkan bahawa sahabat Rasulullah berasa cemburu apabila ada sahabat lain dipuji Rasulullah akan kebaikannya lantas bertanya kepada Rasulullah, jenis kebaikan yang boleh dilakukan olehnya pula.

Sebelum saya meneruskan sesi P&P, saya menggunakan ‘teknik semua murid angkat tangan’. “Siapa yang sudah menghafaz 5 ayat?”, saya bertanya. Saya sudah menjangka semua pasti mengangkat tangan kerana status hafazan mereka sentiasa saya rekodkan.

Tepat! Semua mengangkat tangan. “Bagus! Ustazah suka”, saya memuji. Masing-masing gembira kerana berjaya dalam kelompok itu secara tidak langsung self-esteem mereka meningkat. Bagi murid, jika mereka mengangkat tangan dan guru berkata ya, tandanya mereka berjaya menjawab pertanyaan guru. Mereka bangga dan rasa yakin diri.

Maka, saya akan merangka soalan yang semua murid atau majoriti murid pasti mengangkat tangan. Jika mereka mengangkat tangan lurus 90 darjah, tanda mereka jujur dan yakin. Kalau bengkok sedikit tidak bermaya, kurang sedikit yakin diri. Namun saya berbaik sangka bahawa mereka belum makan tengah hari lagi.

“Siapa yang sudah menghafaz 10 ayat?", saya melanjutkan pertanyaan.

Semua murid perempuan kecuali Amira, Afiqa dan Bashirah mengangkat tangan. Hampir kesemua murid perempuan di kelas 5 Umar tiada masalah corot-akhlak. Mereka cuma lambat sedikit menerima ilmu. Cuma tiga sahabat baik ini kurang tumpuan, selalu bermain, bergosip-gosip dan lambat menyiapkan tugasan. Saya menyasarkan Amira, Afiqa dan Bashirah mesti mampu menghafaz 10 ayat pada hari tersebut. Ya, impian saya sebelum menuju kelas 5 Abu Bakar. Hanya tinggal 10 minit.

Kemudian saya menyebut nama murid yang berjaya menyelesaikan hafazan 15-25 ayat.

“Baik, murid yang berjaya menghafaz paling banyak ayat ialah Durra Sofea, Rahizan dan Afifah. Bagus! Ustazah kagum mendengar bacaan rakan kamu ini. Kalau kamu betul-betul menghafaz, baca berulang-ulang, bagi tumpuan betul-betul pada ayat itu, kamu pun boleh menghafaz dengan lancar macam mereka. Minggu depan, kita boleh berpindah ke surah baru.”

Seperti disuntik Vitamin Blackmores, masing-masing kelihatan segar dan bertenaga. Seolah-olah baru sahaja mencicip secangkir Power Root dan Kacip Fatimah. Entah dari mana datangnya semangat mereka. Teknik Mendorong Gaya Rasulullah selalu sahaja berkesan. Amira, Afiqa dan Bashirah memberi tumpuan.


Dari kiri yang memakai cermin mata ialah Amira, diikuti Afiqa dan Bashirah.

Terlebih dahulu, saya mendengar bacaan Amira, satu-satunya murid 5 Umar yang memakai cermin mata. Jika tersenyum akan kelihatan gigi kapak yang bersaiz besar. Lancar dengan sedikit kesilapan saya memuji, “Haaaa…..!!!Bagus pun hafazan kamu….” . Dia tersentak. Saya menyebut “Haaaa…!!!” dengan suara yang tinggi, memberi kejutan. Salah satu kesan kerana terlalu banyak menonton cerita hantu di Malaysia. Fenomena Mistisisme terbawa-bawa dalam sesi pembelajaran.

“Ishh…ustazah ni…terkejut saya. Ingatkan apa tadi…”, Amira tersenyum besar, nampak gigi kapaknya yang tersusun bersih. Melihatnya, saya teringat akan watak kartun seekor nenek arnab yang memakai cermin mata, duduk di atas sofa sambil membaca buku. Saya sudah lupa nama kartun itu.

“Ustazah yakin kamu boleh menghafaz Amira. Tengok,ustazah kagum kamu sudah boleh menghafaz 10 ayat. Setiap ayat dan huruf yang disebut akan beroleh pahala. Lagi banyak kamu menghafaz hari ini, lagi banyak pahala. Kalau kamu ulang, ulang dan ulang lagi, ustazah yakin kamu boleh hafaz 15 ayat.”, saya memuji dalam masa yang sama menerangkan teknik menghafaz.

Afiqa dan Bashirah saling berpandangan. Tersengih kawannya dipuji begitu, cepat-cepat mereka merenung ayat dengan tenungan yang paling dalam.

“Ustazah dengar bacaan saya pula,” Afiqa meminta hafazannya di-tasmik. Tersangkut-sangkut, saya membantunya. Tujuan saya membantu adalah agar Afiqa boleh menyelesaikan hafazan hingga ayat kesepuluh. Saya boleh sahaja memberhentikan bacaannya dan meminta dia menghafaz semula tetapi cara itu tidak membantu untuk mendorong Afiqa menghafaz hingga selesai. Kemungkinan dia kembali tidak yakin, rasa ketinggalan berbanding dua sahabat baiknya dan paling penting tidak menerima pujian seperti Amira. Sekurang-kurangnya, Afiqa akan gembira kerana sudah menghafaz sepuluh ayat dan akan bersemangat menghafaz lagi.

Seperti biasa Firdaus Hakimi dan Aiman Haiqal tidak putus-putus datang menerpa ke arah saya ketika mendengar bacaan rakan lain. Malah masing-masing saling bertolakan minta bacaan mereka didengari dahulu.


Dari kanan : Aiman Haiqal, Firdaus Hakimi, Firdauss dan Arif Aiman

Saya sentiasa tertawa melihat karenah murid-murid menghafaz. Firdaus Hakimi akan melompat-lompat. Sukar untuk saya rakamkan gaya lompatannya dengan menulis di sini. Gaya ahli gimnastik pun ada. Mencungap-cungap dan berpeluh-peluh dia menghabiskan hafazan dengan cara begitu, namun yang peliknya dia murid lelaki yang paling awal tamat hafazan surah.

Manakala murid perempuan yang tamat dahulu ialah Durra Sofea yang saya ibaratkan seorang kakak di dalam kelas. Durra juga mempunyai gaya yang tersendiri. Dia akan menari-nari dengan cara menghayun-hayunkan badannya ke kanan dan kiri. Saya kerap terikut-ikut gayanya jika mendengar bacaannya. Dia menari begitu, saya terikut menari sama.

Paling istimewa ialah Zikry. Setiap satu ayat akan diselangi dengan perkataan “lepas tu….”. Apabila berhenti pada ayat 8 contohnya, dia akan menyebut “lepas tu…”, kemudian sambung ayat 9. Tamat ayat 9, di sebut lagi “lepas tu…”. Baru dibaca ayat berikutnya. Biarlah, mana tahu dengan cara itu akan wujud taman dalam hatinya. Saya tidak putus-putus mendorongnya menggunakan teknik Rasulullah ini. Impaknya, apabila saya masuk mengajar subjek lain, Zikry tetap mahu saya men-tasmik hafazannya.

Gambar Zikry yang saya ambil semasa subjek Feqah. Lihat notanya, banyak perkembangan dalam tempoh 2 bulan ini. Setelah setahun mencuba dengan pelbagai teknik cubit dan rotan, Jumaat ini baru saya berjaya mendorongnya memakai songkok dengan Teknik Motivasi Gaya Rasulullah. Zikry memakai songkok baru!


Setakat hari ini, murid yang pantas menghafaz di kelas 5 Umar adalah yang mengamalkan gaya melompat-lompat dan menari-nari. Saya cadangkan perlu ada kajian kaitan pergerakan aktif badan dengan kecerdasan menghafaz.

“Ok…Kita sambung Hafazan hari Khamis ya, ustazah mahu masuk kelas 5 Abu Bakar,” saya terpaksa menolak permintaan Firdaus dan Aiman Haiqal.

“Ala ustazah bolehlah, sikit saja lagi saya mahu habiskan.”, Durra merayu-rayu di muka pintu ketika saya hampir melangkah keluar. Saya tidak sampai hati menolak lalu mendengar lagi.

Durra membaca sambil menari-nari seperti tadi. Gaya pergerakan badannya tidak akan dijumpai dalam mana-mana enjin carian di internet mahupun wikipedia. Saya terikut sama sambil terangguk-angguk kepala. Saya memang suka mempersembahkan seni bahasa badan dengan mengangguk-angguk kepala apabila mendengar bacaan murid sambil menyebut “Ok bagus, bagus, teruskan…. Semakin lancar bacaan murid maka semakin kencang anggukan kepala saya.

Dengan itu, mereka berasa seperti mendapat perhatian penuh daripada seorang pendengar. Mereka bersemangat meneruskan bacaan. Cuba anda bayangkan, apabila anda meluah perasaan atau bercerita kepada seseorang, dia menganggukkan kepalanya berulang-ulang kali? Tentu anda akan terus bercerita bukan?.

“Ok kelas, Durra Sofea sudah menghabiskan hafazan Surah al-Inshiqaq”, saya membuat pengumuman.

“yeeeeeyyyy…..”, sekumpulan murid bertepuk tangan. Akhirnya murid corot sudah pandai memberi ganjaran sosial kepada rakan mereka. Kurang kerja saya untuk memuji.

Saya menyanyi kecil dalam hati, terus menyambung nyanyian lagu Najwa Latif, bermula dengan lagu ‘Cinta Muka Buku’ , kemudian ke lagu ‘Carta Hati’.

Semoga saya menjadi sang guru yang terus berada dalam carta hati pelajar-pelajar saya.